MELAKA STORIES | MENCECEH

Rambo di Kampung Jawa

Ali Hassan Ahmad

Penghulu Rembia
Ali Hassan Ahmad, 37

Temubual pada
14 Januari 2020
di 169 Jalan Tengkera

Saya lahir di Melaka, 1 Januari 1983 di Kampung Berangan Enam Umbai. Abah saya kerja rencam. Mula-mula tu kerja kampung. Cari buah, jual buah. Cari sayur, jual sayur. Kemudian bila anak pertama lahir, abang long saya, abah saya berhijrah ke Puchong. Masa tu hujung tahun 60an. Dia ialah buruh di lombong bijih timah. Tembak batu dengan air. 

Ayah saya  dapat modal untuk berniaga ikan di pasar borong Melaka. Dia ambil kat tauke-tauke Cina. Dekat pasar, kalau dulu punya sistem, kalau you tak kenal siapa-siapa, memang dapat hujunglah. Cabut undi pun tetap akan dapat hujung. Dalam pasar, kalau kedai hujung, siapa nak datang beli? Selalu ikan tak laku. Apa Abah saya buat?  Abah saya “Rambo”, dia buka khemah depan Kampung Jawa. Dekat Kampung Jawa masa tu ada ramai orang Indonesia berniaga apam balik. Abah tetap kat situ berniaga ikan. Nasib baik, ikan lepas, nasib tak baik, ikan kena rampas oleh majlis bandaraya sebab berniaga tak ada lesen. Tapi hampir sepuluh tahun juga abah berniaga macam tu. Itulah yang sara kami adik-beradik ke sekolah.