TRADE | MENIAGA

Kain di Kampung Jawa

Ratna Rabain

Bersama peniaga kain di
Pasar Lambak Kampung Jawa
Ratna Rabain, 60
012-246 3689

Perbualan pada
30 Ogos,2019

No.1, Lot.122, Jalan Pasar Baru
Kampung Jawa

Makcik buka niaga ni dah berapa lama?
Meniaga dah semenjak tahun 80an lagi. Semenjak muda  sampai ke tua. Dalam kedai ni dah 21 tahun.

Dulu mula-mula meniaga kat mana?
Tepi laut, Bandar Hilir sebelum laut itu ditambak. Bila laut dah ditambak, saya pindah ke sini.  Sini dulu pasar, saya meniaga dekat sini lah, saya pakai kereta tolak, jual air batu dengan apam balik saja. Saya berniaga daripada keci-kecil, sikit-sikit. Tahun 1998 baru dapat sewa kedai ini. Dulu meniaga dekat tepi luar ini saja. Dulu dekat dalam bangunan ini dulu pasar besar, betul-betul pasar. Orang beli ikan, beli sayur, lepas itu beli air sekali.

Dah berapa lama pasar tu ditutup?
Tahun 90 berapa, tak ingat.

Pasal apa dia tutup?
Sebab pasar tu dipindahkan.

Kenapa tak ikut sekali?
Dah selesa kat sini. Dulu duduk Banda Kaba, kalau ke sini dah dekat, kalau pindah tu dah jauh. Pasar sekarang itu dah jauh, dah empat kali pindah dah. Buat apa nak ikut?

Niaga kain ni, dapat dari mana?
Ada salesman datang, ada yang dari Pakistan, dari China, tengok jenis-jenis kain, campur-campur.

Kalau dalam pasar yang ada sekarang ni, berapa peniaga yang tinggal?
Tak boleh kira lah, banyak kat belakang ini.

Kalau yang kat sini, ini sewa daripada MBMB kan?
Bukan, ini tanah persendirian. Tuan tanah itu sewa tanah, habis orang menyewa buat bangunan. 

Apa beza dulu dan sekarang?
Dulu shopping [pusat membeli-belah] tak ada, jadi semua bertumpu dekat pasar ini lah. Sini lah orang beli pakaian, situ lah orang beli lauk. Di sana ada sungai dulu, tempat berhentinya bot nelayan. Seronok juga dulu, sejarahnya dulu seronok. Ya lah, zaman tak moden, semua ada berlonggok dekat sini itu yang seronok. Tapi sekarang shopping dah banyak, kalau macam orang muda dia suka shopping lah. Kalau orang tua dia dah biasa datang Kampung Jawa, masih lagi beli kat sini. Macam makcik-makcik itu mana dia suka pergi shopping? Ada orang datang, nasib lah, rezeki lah. Kalau ada rezeki kita, adalah orang datang, tapi tak semewah dulu.

Kalau pada musim hari raya, ramai lah?
Ya, musim raya atau cuti sekolah, sebab orang nak cari baju sekolah.

Katakan makcik dah pencen, siapa yang akan lanjutkan?
Misal kata dah pencen, tak tahu lah tanah ini, sebab tanah ini orang dah jual, mungkin dia nak buat bangunan. Yang menjual Chinese, yang membeli pun Chinese. Syarikat besar lah, tapi kalau boleh harap-harap biarlah lambat sikit, jadi makcik dapatlah cari rezeki lagi. Kalau dah pindah, pelanggan kita pun tak tahu ke mana kita pindah. Dan makcik rasanya dah tak sanggup lah, penat dah makcik. Kalau nak pindah, banyak cerita nanti. Nak sewa mungkin mahal, nak jual barang pula lagi satu hal.

Dia tak bagi tahu bila nak ambil balik?
Belum lagi.

Berapa sewa dia sebulan?
Dulu masa baru sewa RM1,200, masa itu belum ada shopping. Habis turun RM1,000, sekarang RM800. Kita minta dia tolong turunkan, sebab dah tak ramai orang. Dulu banyak pelanggan, sekarang dah kurang.

Pedagang dekat sini, Chinese lagi ramai. Masing-masing dah tua, dia orang tak buat lagi. Tapi generasi baru tak ada. Macam yang muda ada, itu daripada mak ayah dia dulu. Kebanyakan orang tua-tua yang meniaga. Sebab kemudahan dah banyak kan, orang dah belajar.