PLACES | MERCU TANDA

Hui Ann Association

Tan Gim Kang

Bersama penasihat
Hui Ann Association
Tan Gim Kang, 82

Perbualan pada
15 Mac 2020
dalam bahasa Mandrin

Hui Ann Association
80 Lorong Bukit Cina

Malacca Hui Ann Association ditubuhkan pada tahun 1929. Sekarang berusia 91 tahun. Fungsi utamanya pada awalnya adalah untuk membantu orang Hui Ann yang baru datang dari China dan tiada pergantungan.

Pada abad ke-18, hidup orang yang berasal dari bahagian selatan China sangat susah. Orang Cina yang mencari nafkah di Nanyang membawa kawan-kawan atau saudara-mara mereka yang hidup susah di China ke Tanah Melayu, termasuk Melaka. Di sini, pemimpin-pemimpin dan orang Hui Ann yang kaya akan memberi bantuan kewangan kepada mereka.

Lama-kelamaan, ada orang mencadangkan supaya mendirikan sebuah persatuan.Tambahan lagi, pada masa itu, terdapat trend di mana orang Hakka menubuhkan persatuan Hakka, orang Lam Ann menubuhkan persatuan Lam Ann, orang Heng Ann menubuhkan persatuan Heng An, orang Kwang Tung menubuhkan persatuan Kwang Tung, orang keturunan nama keluarga Chen ada persatuan Chen, keturunan Lee mempunyai persatuan Lee, masing-masing ditubuhkan. Dengan ini persatuan kami pun ditubuhkan.

Pada peringkat awal ahli adalah sikit?
Sangat sikit. Kebanyakan merupakan kuli, golongan yang membanting tulang. Dulu di muara Sungai Melaka ada tongkang di mana kapal kargo akan berhenti di laut dan tongkang akan mengangkut beras dan stok dari kapal kargo ke Sungai Melaka. Pada masa itu ada sebuah gudang di belakang Heeren Street. Kebanyakan kuli yang bekerja di sana merupakan orang Hui Ann. 

Ahli-ahli

Semasa Malacca Hui Ann Association ditubuhkan, kebanyakan ahli terdiri daripada golongan yang membanting tulang, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang pembinaan. Golongan yang berniaga pada masa itu kurang terlibat dalam persatuan ini. Ahli kami seperti bapa Kian Seng selaku kontraktor kelas A dan Tan Guan Huat memainkan peranan penting sebelum industri pembinaan merancak di Melaka.

Golongan yang terlibat dalam budaya dan pendidikan pula amat kurang pada masa itu. Saya berasal dari golongan budaya dan pendidikan, maka saya menggunakan sedikit pengaruh saya untuk mengajak golongan seperti guru dan guru besar untuk menjadi ahli persatuan. Kebanyakannya daripada mereka menolak. Ada seorang dua yang rapat dengan saya setuju dengan rasa keberatan, namun mereka hanya menjadi ahli untuk satu penggal sahaja. Apa-apa pun kami menghormati keputusan mereka, sebab masing-masing mempunyai cita-cita sendiri. Datuk Sim Mow Yu [tokoh pendidikan Cina] pernah berkata, orang-orang yang menyumbang tenaga kepada kerja-kerja budaya dan pendidikan tanpa mengharapkan balasan mempunyai semangat ‘orang bodoh’. Sebab persekitaran masyarakat zaman dulu lebih simple, kos sara hidup tidak begitu membebankan, kami masih mampu berkhidmat di sini. Zaman sekarang lebih complicated, tekanan dan beban sara hidup jauh lebih berbeza daripada zaman dulu. Harus kita tahu bahawa ahli yang berkhidmat di dalam persatuan mempunyai ahli keluarga masing-masing untuk disara, kerja-kerja yang mereka lakukan di dalam persatuan adalah tanpa bayaran. Sebab itulah ramai susah boleh terlibat.

Adakah ahli-ahli Malacca Hui Ann Association berasal dari Fujian/Hokkien?
Memang. Persatuan kami telah menetapkan keahlian hanya terbuka kepada suku kaum daerah Hui Ann.

Bagaimana pula dengan isteri ahli yang berasal dari suku kedaerahan yang lain? Adakah isteri mereka dibenarkan menjadi ahli persatuan?
Boleh. Sebagai menantu Hui Ann. Mereka masih dialu-alukan. Contohnya isteri saya bukan orang Hui Ann, beliau berketurunan Lam Ann, namun disebabkan saya, saya ajak beliau masuk ke Bahagian Wanita Malacca Hui Ann Association.

Di mana si isteri adalah orang Hui Ann, suaminya bukan keturunan Hui Ann, boleh tak si suami menjadi ahli persatuan?
Dalam keadaan sebegini, kami tidak akan mengendalikannya (keahliannya). Semasa saya menganggotai ahli jawatan kuasa, kami belum pernah menemui keadaan ini di mana ahli kami ingin membawa suami mereka yang bukan orang Hui Ann untuk menjadi ahli. Sekiranya ada ahli yang merasakan walaupun suami mereka bukan keturunan Hui Ann tetapi sangat aktif dan berhasrat menjadi ahli, mereka boleh maklum kepada kami dan kami akan membuat keputusan melalui mesyuarat ahli jawatan kuasa. Sebab benda ini adalah ‘hidup’, perlembagaan persatuan adalah ‘hidup’. Sekiranya kami merasakan perkara ini diperlukan mengikut keadaan, kami pun akan mengubahkannya, memenuhi kehendak peredaran zaman.  

Selain daripada badan induk, adakah Malacca Hui Ann Association mempunyai sayap-sayap yang lain?
Pada tahun 1980an, kami telah menubuhkan Bahagian Pemuda dan Bahagian Wanita. Bahagian Pemuda juga ada sejarahnya sendiri. Bahagian Pemuda ditubuhkan pada tahun 1966, Bahagian Wanita pula ditubuhkan pada tahun 2001. Disebabkan keperluan zaman tersebut, kami telah menubuhkan Bahagian Pemuda pada tahun 1966.

“Pada abad ke-18, hidup orang yang berasal dari bahagian selatan China sangat susah. Orang Cina yang mencari nafkah di Nanyang membawa kawan-kawan atau saudara-mara mereka yang hidup susah di China ke Tanah Melayu atau Melaka. Malacca Hui Ann Association ditubuhkan atas sebab orang keturunan Hui Ann yang baru sampai di sini mungkin tidak ada pergantungan”

Leh Yong Club: kelab rekreasi

Sini juga terpampang Leh Yong Club. Apakah itu Leh Yong Club? 

Semasa Malacca Hui Ann Association ditubuhkan pada tahun 1929, taraf hidup ahli-ahli telahpun meningkat, namun orang zaman dulu tidak mempunyai kemudahan seperti televisyen atau telefon pintar untuk mengisi masa lapang mereka. Maka kebanyakannya menghabiskan masa di tempat awam seperti bermain mahjong. 

Maka Leh Yong Club ditubuhkan supaya ahli-ahli boleh memenuhi masa lapang mereka di sini untuk aktiviti hobi, bukan untuk perjudian. Saya tidak pasti ia ditubuhkan pada tahun bila. Setahu saya, disebabkan ada keperluannya, mereka pun membuat permohonan daripada kerajaan untuk menubuhkan sebuah kelab, yang dinamakan Leh Yong Club. Leh [siput] Yong merupakan totem/simbol kepada Hui Ann, sana ada banyak hasil siput. Selain itu, terdapat juga satu tempat yang dinamakan Luoyang. Oleh itu kelab tersebut dinamakan Leh Yong Club.

Jadi, fungsi utama Leh Yong Club pada masa itu adalah menyediakan satu tempat kepada ahli-ahlinya untuk mengisi masa lapang dan melakukan aktiviti?
Ya. Bertempat di Malacca Hui Ann Association. Sebagai tempat untuk mereka melakukan aktiviti dan main mahjong. Orang tua yang tidak ada apa-apa aktiviti, akan duduk di sebelah sana sambil minum teh.

Pada masa itu, adakah keahlian Leh Yong Club dihadkan umur?
Tiada. Pada zaman saya menjadi ahli di Malacca Hui Ann Association, lebih kurang pada 50 tahun yang lepas, Leh Yong Club sebenarnya hanya tinggal nama sahaja. Kelab tersebut masih wujud, tetapi tiada ahli jawatan kuasa.

Kenapa begitu?
Sebab ada orang menganggap tempat ini sebagai tempat berjudi, judi dari siang hingga malam. Ini telah menjejaskan pendapatan dan keharmonian rumah tangga mereka. Ada wanita yang mengadu kepada presiden Malacca Hui Ann Association bahawa penubuhan Leh Yong Club tidak membawa apa-apa manfaat kepada ahli-ahlinya, malah menjejaskan rumah tangga mereka. Kemudian Leh Yong Club tidak ditutup, laporan tahunan masih dikemukakan kepada pihak berkenaan, dan mengadaptasi mesyuarat yang diadakan oleh Malacca Hui Ann Association sebagai mesyuarat bersama. Laporan tahunan Leh Yong Club dan Malacca Hui Ann Association adalah dikemukakan kepada ROS secara berasingan walaupun aktiviti dianggap sebagai bersama. Harus dikatakan bahawa Leh Yong Club ditubuhkan pada tahun 1966. Manakala pada tahun 1986 pula, seiringi dengan penubuhan Bahagian Pemuda, kami pun menganggap Leh Yong Club sebagai Bahagian Pemuda kami, dan dengan cara inilah ia dikekal dan diteruskan. 

Malacca Hui Ann Association agak berlainan dengan persatuan lain sebab bahagian pemuda persatuan lain tidak perlu berdaftar dan tidak perlu mengemukakan laporan tahunan kepada ROS, tetapi Bahagian Pemuda Malacca Hui Ann Association perlu berbuat demikian, atas nama Leh Yong Club. 

Maksudnya, sehingga hari ini, Leh Yong Club masih berdaftar di dalam senarai nama ROS?
Rasanya ada lagi, sebab laporan ada dikemukakan setiap tahun, salinan juga dibekalkan kepada Leh Yong Club dan Malacca Hui Ann Association masing-masing. Pada suatu ketika dahulu, pernah ada ahli mencadangkan bahawa membuat permohonan kebenaran daripada kerajaan untuk membeli mesin slot, sebab lesen penubuhan kelab bukan senang nak dapat. Memohon daripada kerajaan untuk menubuhkan kelab yang sebenar seperti Rally Club di Bukit Baru dan Malacca Club. 

Apakah permohonan yang boleh dibuat dengan status kelab?
Boleh memohon lesen hiburan. Tapi permohonan itu tidak dibuat.

“Acara itu sangat berjaya. Ketua Menteri pun hadir sendiri. Abang kepada Goh Kian Seng, iaitu Goh Kian Heng merupakan tukang membuat bot kami, beliau seorang yang berbakat dan semua bot berhias ini dibuat oleh beliau. Bot yang dinaiki oleh TYT juga direka oleh beliau”

Kini

Apakah pula peranan yang dimainkan oleh Malacca Hui Ann Association pada zaman kini? 
Kami telah menetapkan pemberian hadiah insentif pendidikan cemerlang kepada anak-anak ahli mulai tahun 1980an. Dengan cara inilah kami berharap boleh menarik minat lebih ramai orang Hui Ann untuk menjadi ahli. Mengikut peredaran zaman, golongan yang membanting tulang semakin berkurangan, khususnya apabila dermaga di muara Sungai Melaka telah tiada, kuli dan tongkang pun tidak lagi kelihatan. 

Pada peringkat awal, kami ada mengadakan aktiviti tahunan seperti pertandingan kaligrafi, pertandingan melukis zodiak sempena Tahun Baharu Cina, pertandingan Ping Pong dan pertandingan karaoke.

Adakah Malacca Hui Ann Association mempunyai kumpulan tarian singa sendiri?
Ya. Kumpulan tarian singa kami ditubuhkan pada tahun 1980an, ia amat bergantung kepada usaha mereka ini [ahli jawatan kuasa] sebagai penggerak kumpulan tersebut. Mereka tidak berpeluang meraikan Tahun Baharu Cina setiap tahun sebab mereka akan mengiringi kumpulan singa dari rumah ke rumah untuk pertunjukan pada hari Tahun Baharu Cina pertama dan kedua.

Mengapakah tertubuhnya kumpulan tarian singa Malacca Hui Ann Association pada tahun 1980an?
Ia merupakan trend pada zaman tersebut. Pada masa itu, banyak pertubuhan menubuhkan kumpulan tarian singa masing-masing. Ada sifu datang mengajar ahli-ahli kumpulan singa. Seperti yang saya kata tadi, banyak benda wujud disebabkan oleh keperluan zaman.

Pada masa itu, adakah kumpulan tarian singa ditubuhkan sebagai salah satu sumber menjanakan pendapatan kepada persatuan?
Bukan untuk tujuan sedemikian. Namun setiap kali kumpulan tarian singa membuat pertunjukan, mereka akan diberi ganjaran, ganjaran tersebut sedikit sebanyak menyumbangkan kepada pendapatan persatuan. Yang penting perlu ada penggiat untuk mewarisi dan meneruskan kerja ini. Pada masa awal, kami yang mengiringi kumpulan tarian singa tidak dibayar elaun, minyak kereta semua tanggungan sendiri. Sekarang disebabkan peredaran zaman, mereka ada dan memang layak dibayarkan elaun.

Adakah setiap tahun Malacca Hui Ann Association turut mengadakan rumah terbuka pada Tahun Baru Cina?
Ya. Aktiviti dimulakan pada tahun 1980an, lebih kurang 30 tahun yang lalu.

Banyak perubahan, penetapan dan aktiviti Malacca Hui Ann Association berlaku pada tahun 1980an.

Sebab Bahagian Pemuda sangat kuat pada masa itu. Saya sebagai Setiausaha pada masa itu. Saudara Kian Seng merupakan Ketua Pemuda. Masa itu saya masih muda, umur lebih kurang 40 tahun. 

Pesta Tanglung di Sungai Melaka

Pada tahun 1980an, semasa saudara Kian Seng menjawat Ketua Pemuda dan saya pula Setiausaha, kami bersama-sama dengan Bahagian Pemuda Persatuan Heng Ann Melaka menganjurkan Pesta Tanglung di Sungai Melaka. Idea ini diilhamkan oleh seorang pelukis tempatan, Soh Mok Tan, bapa mentua beliau merupakan orang Hui Ann. Sok Mok Tan bertanya kepada kami sama ada berani menganjurkan perarakan bot berhias Pesta Tanglung di Sungai Melaka atau tidak.   

Bilakah perarakan bot berhias Pesta Tanglung diadakan?
Rasanya pada tahun 1989. Semasa beliau (Kian Seng) selaku Ketua Pemuda dan saya sebagai Setiausaha. Pada masa itu, ada seorang Exco yang bernama Lee Mu. Bahasa Melayu beliau sangat fasih, beliau merupakan orang penting dalam MCA dan beliau pernah menjawat Setiausaha Malacca Hui Ann Association. Beliau seorang yang kaliber, tetapi sayangnya disebabkan beliau terlampau sibuk, akhirnya beliau diserang sakit jantung.

Maka beliau meninggal dunia?
Pada masa itu, Soh Mok Tan juga membantu kami mendraf rekaan bot untuk acara Pesta Tanglung tersebut. Ada sekali semasa di dalam mesyuarat, terdapat ahli yang risau bahawa kemungkinan orang awam akan terjatuh di dalam sungai semasa menyaksikan bot berhias. Namun disebabkan oleh keberanian kedua-dua Ketua Pemuda tersebut, mereka telah membuat keputusan untuk teruskan acara tersebut. Mereka pun pergi berdoa di Tokong Tian Hou yang terletak di dalam Persatuan Heng Ann Melaka supaya acara tersebut berjalan dengan lancar dan selamat. Pada masa itu, acara ini juga disokong oleh pemimpin Persatuan Heng Ann Melaka, maka kami pun teruskannya. Soh Mok Tan telah membekalkan idea, kami pun mula membuat persiapan. Lee Mu dan Poh Ah Tiam membantu kami dalam urusan penyelarasan dengan kerajaan. Kami telah menjemput TYT Melaka untuk merasmikan acara tersebut. Pada masa itu, acara tersebut boleh dikatakan sangat meriah.  

Adakah acara perarakan bot berhias Pesta Tanglung itu hanya pernah diadakan sekali sahaja? 
Acara itu sangat berjaya. Ketua Menteri pun hadir sendiri. Abang kepada Goh Kian Seng, iaitu Goh Kian Heng merupakan tukang membuat bot kami, beliau seorang yang berbakat dan semua bot berhias ini dibuat oleh beliau. Bot yang dinaiki oleh TYT juga direka oleh beliau. Semua faktor keselamatan dijaga rapi oleh mereka. Pada hari acara tersebut, ramai orang risau juga tentang keselamatan di atas bot. Maka kami pun pergi berdoa kepada Dewi Tian Hou [Mazu] di Tokong Tian Hou yang terletak di tingkat atas Persatuan Heng Ann Melaka. Mujur acara kami diberkati dan berjalan dengan lancar dan selamat. Disebabkan bantuan oleh Poh Ah Tiam, beliau dapat mengajak peniaga atau pertubuhan untuk menaja perhiasan bot-bot tersebut. Harga sebuah bot berhias bukan murah, pada masa itu terdapat lebih kurang belasan hingga dua puluh bot yang terlibat. Acara tersebut berjaya menarik pelawat dari seluruh negara. Pada tahun seterusnya, tiada siapa lagi berani menganjurkan acara tersebut. Ia memerlukan begitu banyak wang dan tenaga. 

Jadi, acara ini tidak lagi diadakan kemudian? 
Tidak ada lagi. Kemudian lebih kurang pada tahun 1990an, saudara Kian Seng mewakili Bahagian Pemuda Malacca Hui Ann Association menyertai Bahagian Pemuda Persatuan Hokkien Melaka dan dipilih menjadi Ketua Pemuda di sana. Pada masa itu, Pengerusi Persatuan Hokkien Melaka mencadangkan Bahagian Pemuda menganjurkan lagi perarakan bot berhias Pesta Tanglung. Tapi sambutan perarakan bot berhias kali ini tidak meriah seperti kali pertama kerana tidak mempunyai keterlibatan daripada wakil kerajaan, hanya beberapa bot sahaja yang terlibat.

Acara perarakan bot berhias Pesta Tanglung kali kedua tersebut adalah dianjurkan oleh Bahagian Pemuda Persatuan Hokkien Melaka?  
Ya. Dalam skala yang kecil.