Dengan pemilik
Kedai Emas Sin Cheong
dan bekas Presiden
Federation of Goldsmith and Jewellers Association of Malaysia (FGJAM)
Yap Eng Kee, 81
Temuduga pada
22 Februari 2020
Kedai Emas Sin Cheong 34 Jalan Bunga Raya
Menyeragamkan Mutu Emas
Pada masa dulu kualiti emas kami tidak terkawal, oleh itu ia sangat teruk. Kandungan emas kurang mencukupi. Harga emas yang dijual semakin rendah, setahil [emas] berharga lebih kurang RM100. Pada masa itu, perniagaan borong adalah 3 tahun 1 pusingan. Maksudnya, jika harga [emas] adalah RM1 juta, keuntungan 3 tahun kemudian adalah 3 kali ganda.
Pada masa itu, setiap orang buat ikut cara sendiri, menyebabkan keadaan berserabut. Emas dijual dengan sembarangan. Kami tidak mampu bersaing dengan luar, pasti akan kalah. Apabila sebut tentang mutu emas, ramai melihat kepada Singapura, kualiti emas Singapura lebih bagus.
Pada zaman saya aktif dalam kegiatan sosial, saya pernah terlibat dalam banyak pertubuhan dan pernah menjadi presiden kepada Malacca Goldsmith Merchants Association selama 38 tahun. Saya juga pernah dilantik sebagai presiden kepada Federation of Goldsmith and Jewellers Association of Malaysia (FGJAM) [di peringkat kebangsaan]. Saya mendapati kualiti emas kami ada masalah, di mana mutu emas yang dibuat kurang menepati piawaian. Kebetulan pada masa tersebut kerajaan ada minta supaya diseragamkan [mutu emas].
Maka saya pun mula membantu melakukan transformasi, menjadikan emas 916 sebagai standard emas. Semasa saya menjawat presiden FGJAM, kami mempunyai FEDMAS Assay Office, berperanan menilai mutu emas mengikut piawaian sebelum ia dikeluarkan. Saya juga merupakan salah seorang pengarahnya.
Semasa saya menjawat presiden FGJAM, saya mengubah keadaan keseluruhan. Saya bersikap terbuka dalam pertubuhan dan mengharapkan semua dapat bersatu padu. Pada masa itu, banyak juga masalah timbul. Namun saya berpendapat bahawa emas kami seharusnya mengikut standard yang tetap, baru boleh survive.
Kami perlu ada piawaian nilai kandungan emas yang tetap, maka kami tidak dikatakan menipu pelanggan. Ini perkara yang sangat penting. Dalam bidang perniagaan emas, terdapat nila setitik rosak susu sebelanga. Menurut piawaian sekarang, 750 adalah emas penuh, 835 adalah 20K, 22K adalah 916. Kami menetapkan 750 adalah 18K.
Dengan adanya badan penilaian ini, yang berfungsi menguji ketulenan emas, kami dapat melindungi kepentingan kami. Ini adalah penting. Emas yang dijual sekarang kebanyakannya 916. 999 adalah emas tulen. Hanya dua jenis emas ini sahaja yang sesuai kepada pelanggan kami. Maka [mutu emas kami] dikira boleh tahan juga di peringkat antarabangsa seperti di Dubai dan negara-negara lain.
“Dalam perniagaan barang kemas, yang paling penting adalah kejujuran dan amanah. Sekiranya menggunakan cara tipu helah, tidak mampu survive di Melaka”
Penubuhan Kedai Emas Shin Cheong
Kedai ini ditubuhkan oleh bapa saudara ke-4 saya kira-kira 80 tahun lebih yang lalu. Lepas tu adik lelaki bapa saya yang mengendalikan.
Pada masa itu, harga pasaran emas kurang baik. Adik lelaki bapa saya tidak meneruskan perniagaan ini lagi, kedai ini dikosongkan, maka saya pun ambil alih perniagaan ini, pada 1 Mei 1960. Pada masa itu saya masih belajar di sekolah menengah, namun disebabkan tiada orang lain, maka mak saya minta saya ambil alih perniagaan ini. Nama kedai dikekalkan.
Latihan dan perantis
Pada zaman dulu, perniagaan kami bergantung kepada seni pertukangan tangan. Sekiranya seni pertukangan kamu baik, nescaya perniagaan kamu akan bagus. Kami perlu menjalani latihan terlebih dahulu, iaitu belajar seni pertukangan emas.
Pada tahun 1970an, saya mempunyai 18 orang pekerja, semua dilatih oleh saya dalam kedai ini. Sebab kedai saya juga menjalankan perniagaan borong. Saya ada jual berlian dan permata.
Separuh pekerja yang pernah bekerja dengan di sini menjadi tauke besar dalam bidang ini. Ada yang berniaga di Port Dickson, Seremban. Sini memupuk ramai peniaga emas, berbeza semasa zaman muda.
Dulu emas murah, alat perkakas [menempa emas] juga tidak mahal, maka gaji tukang tidak tinggi masih boleh survive. Sekarang taraf hidup sekarang adalah tinggi. Bagi seorang perantis yang mahir adalah sukar untuk hidup pada zaman sekarang sebab gaji perantis adalah rendah. Malah perlu menghabiskan banyak masa untuk melatihnya. Jadi sistem perantis tidak ada lagi.
Saya tidak pernah menjadi perantis. Saya belajar sendiri, bukan senang. Masa saya masih kecil, kedai ini mempunyai sifu [tukang emas], jadi saya curi-curi belajar pada waktu malam bila ada masa lapang. Saya nampak mereka buat [kerja], jadi saya perlahan-lahan [belajar]. Pada masa itu, orang pentingkan diri sendiri masing-masing. Saya mendapati sifu dulu-dulu sangat autokratik dan konservatif. Mereka tidak sanggup mewariskan ilmu dan skil mereka kepada orang lain, banyak benda [ilmu] mereka simpan untuk diri sendiri. Paling-paling pun mereka menyampaikan 40 atau 50 peratus sahaja.
Keadaan adalah berlainan semasa waktu saya [mengendalikan perniagaan]. Pada zaman saya pula, saya menyampaikan ilmu yang telah saya lihat dan belajar kepada mereka [perantis/pekerja]. Disebabkan saya perlu selalu ke luar negara untuk melihat permata, barang kemas dan sebagainya, jadi sebagai orang yang menceburi bidang ini, kami harus biasa dengan benda-benda ini, khususnya permata, colourstone, diamond dan sebagainya, serta cuttingnya. Banyak ilmu yang perlu dipelajari. Jadi kami pun melihat (belajar) secara perlahan-lahan lalu mengajar orang lain.
Sebab saya tahu orang dulu-dulu agak penting diri sendiri. Tapi bagi saya, saya dibesarkan dalam persekitaran yang tidak sama, saya nampak sisi gelap hati manusia, jadi saya berniat untuk mengubah seluruh keadaan. Sebagai contoh di Melaka, selama saya menjawat presiden Malacca Goldsmith Merchants Association untuk 38 tahun, saya hanya berkhidmat kepada mereka [ahli-ahli persatuan], bukan untuk kepentingan diri sendiri. Ada orang mungkin mempunyai agenda atau kepentingan diri sendiri. Saya tak tahu nak cakap macam mana, itulah fitrah manusia.
Begitulah keadaannya. Umur saya sekarang pun dah 80 tahun, tak kuasa saya nak komen banyak.
“Saya masih belajar di sekolah menengah, namun mak saya minta saya ambil alih perniagaan ini”
Kejujuran
Dalam perniagaan barang kemas, yang paling penting adalah kejujuran dan amanah. Tidak boleh menipu pelanggan atau buat benda yang bukan-bukan. Integriti paling kami utamakan. Sekiranya menggunakan cara tipu helah, adalah tidak mampu survive di Melaka.
Kebanyakan pelanggan India kami adalah pelanggan lama juga. Sebenarnya business bagi pelanggan India bukan senang untuk dibuat. Mereka perlu kenal dengan kamu terlebih dahulu. Apabila mereka percaya kepada kamu, baru mereka akan membeli dengan kamu. Mereka tidak akan pergi ke tempat lain. Pelanggan Cina dan Melayu pula agak berbeza, mobiliti mereka agak fleksibel. Pelanggan India biasanya akan kekal di tempat yang sama. Apabila kamu memberi layanan yang baik kepada mereka, mereka akan datang [melanggani kedai]. Sekiranya kamu menipu mereka, perniagaan kamu tak usah lagi dibuat, malah kemungkinan kamu akan didakwa. Kebetulan kedai kami dapat menepati citarasa pelanggan, dan perniagaan kami juga dijalankan dengan cara yang jujur.
Tulen atau Sadur?
Untuk mengetahui nilai kandungannya, kita boleh bakar dan bubuh cecair kimia ke atas emas. Ia memerlukan orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Seperti kami, kami telah biasa dengannya. Selain itu, terdapat juga banyak perbezaan antara permata dengan berlian. Kesemua ilmu ini perlu dipelajari sendiri. Contoh seperti colour stone, ia mengalami kekurangan stok sekarang, di seluruh dunia. Maka sekarang lebih digunakan adalah sintetik, sintetik merupakan buatan manusia untuk menggantikannya. Saya menceburi bidang ini sangat lama. Hobi saya adalah mengumpul jed, berlian dan colour stone. Kalau nak yang semulajadi, kita kena pandai melihat.
Zaman sekarang mempunyai banyak emas sadur, emas tiruan. Lebih-lebih lagi kini harga emas tinggi, kami perlu berhati-hati dengan orang yang menjual atau trade-in emas mereka. Memeriksa dengan berhati-hati sama ada emas itu tulen atau tidak, sebab emas sekarang dapat ditiru dengan menggunakan teknologi yang tinggi. Sebab itu banyak kedai emas juga terpedaya, mereka tersilap beli emas sadur. Biasanya apabila kami pegang sesuatu barang emas, kita dah boleh agak kandungannya. Semua ini memerlukan pengalaman.
Emas memang perlu ditimbang, selepas timbang baru kita tahu beratnya. Tapi tak guna juga kita timbang emas itu tanpa mengetahui sama ada ia adalah tulen atau tidak.
Menempa emas
Barang-barang kemas yang terdapat di dalam kedai kami adalah seperti cincin, rantai leher dan rantai tangan. Pada masa dulu perniagaan kami banyak bergantung kepada seni pertukangan tangan. Kami melakukan proses menempa emas sendiri, bermula dengan pencairan bahan asal yang dibeli. Kemudian akan dibuat rantai leher dan sebagainya.
Kini amat jarang kami membuat rekabentuk sendiri. Kebanyakannya dibekalkan rekabentuk yang siap dibuat oleh pekilang.
“Emas sekarang dapat ditiru dengan menggunakan teknologi yang tinggi. Sebab itu banyak kedai emas juga terpedaya”
Pelanggan
Biasanya untuk urusan perkahwinan orang Cina, mereka akan beli 4 jenis barang kemas, iaitu rantai tangan, gelang tangan, cincin dan rantai leher. Orang India pula lain, mereka lebih gemar rantai yang panjang dan berat. Sebagai contoh, sekiranya mereka membeli barang kemas yang bernilai RM7,000 kepada saudara yang berkahwin pada tahun ini, mereka akan beli juga barang kemas yang bernilai sama kepada saudara lain yang kahwin pada tahun depan. Kuasa beli orang India ke atas emas adalah tinggi.
Orang Melayu pula, bagi seorang Muslim yang soleh, setiap tahun mereka akan menyumbangkan 10% emas yang dibelikan oleh mereka kepada masjid. Dulu kami mempunyai ramai pelanggan haji, pelanggan lama. Setiap tahun mereka akan datang memberitahu saya jumlah emas [yang dibeli oleh mereka dalam setahun], dan kami akan membuat kiraan untuk mereka, untuk disumbangkan kepada masjid. Sebab itu saya tahu mengenainya.
Orang Melayu mengutamakan emas, oleh itu [pasaran] emas di Malaysia dan negara Islam tidak akan hilang.
Pada tahun 60, 70 atau 80an orang Cina biasanya mencari rantai emas berketulenan penuh, emas 999. Sebab pada masa itu harga emas murah, baru RM100 atau RM200 setahil. Sekarang RM7,000 setahil. Orang Cina yang tua biasanya akan beli cincin emas, sempoa emas, rantai leher untuk disimpan dalam peti keselamatan. Orang Cina lebih konservatif, barang emas yang dibeli tidak ditunjukkan orang sewenang-wenangnya, maka kita tidak tahu berapa barang emas yang mereka miliki. Orang Melayu dan orang India pula biasa akan memakainya.
Secara bandingannya, boleh dikatakan pelanggan Cina kurang daripada pelanggan bangsa-bangsa lain di dalam mana-mana kedai emas. Bagi orang Cina yang kaya, mereka kini lebih gemar berlian dan permata. Sebab tak ramai orang tahu tentang permata, maka pasaran kurang aktif. Sebenarnya, nilainya semakin naik. Kalau kita beli berlian 1 karat, harganya lebih kurang RM20,000 pada masa dulu. Kini harganya telah naik kepada RM48,000.
Pada peringkat awal, pelanggan Melayu ramai. Sebab pada waktu saya mengendalikan kedai ini, saya mempunyai hubungan rapat dengan jabatan kerajaan. Pada masa itu, lebih kurang 90% pelanggan saya adalah orang Melayu. Kemudian secara beransur-ansur, pelanggan Cina mula bertambah. Apabila perniagaan ini diambil alih oleh anak lelaki sulung saya, ia mula ditransformasikan di mana kini lebih ramai pelanggan India.
Pelanggan lama berbangsa Melayu dan Cina juga ada, tapi tak ramai. Ada kekurangan tempat parkir di kawasan ini. Pelanggan lama kami sanggup datang walaupun terpaksa letak kenderaan di tempat jauh. Pelancong asing agak jarang datang, sebab keadaan lalu lintas di kawasan bandar kurang convenient.
Keadaan [suasana kemeriahan] Bunga Raya tidak seperti dulu, dulu sangat riuh-rendah. Tapi sini sekarang kira OK juga.
Perniagaan emas pada masa kini
Di Melaka ada banyak kedai emas. Demi menyambung hidup, perantis dan juga ramai orang yang kurang berpendidikan tinggi memulakan perniagaan demi menyambung hidup mereka. Ini lebih baik daripada makan gaji.
Zaman sekarang adalah zaman teknologi, perniagaan emas tidak perlu lagi bergantung kepada pertukangan tangan, kebanyakan [emas] sekarang adalah diproses oleh mesin, reka bentuk [emas] pula dibuat dengan menggunakan komputer.
Jumlah jual beli masih boleh tahan lagi. Harga emas sangat tinggi sekarang, dan melambung tinggi disebabkan faktor Coronavirus. Kami pun tidak dapat menjangka akan terus naik sampai bila. Tapi perniagaan emas masih boleh survive lagi kerana ada kedai yang masih mempunyai stok lama yang disimpan sebelum ini.