FOOD | MENTAKEDARAH

Teh Herba

Yee Wei Leong

Heng Kee’s tea stall has been around since 1930, and is now run by the great-grandson of its founder. People from all walks of life and ethnicities stop by for a herbal tea from a choice of four kinds, which can be supplemented by medicinal powders. The drinks are said to remove “heatiness” from the body and help relieve ailments. Sometimes customers’ cars cause traffic congestion.

Bersama dengan pemilik
Teh Ubat Heng Kee
Yee Wei Leong, 32
pemilik generasi keempat
013-206 6855

Perbualan pada
22 Februari 2020
dalam bahasa Mandarin

Kereta tolak Teh Ubat Heng Kee
Sebelah 1 Jalan Kee Ann

Perniagaan ini sejak tahun 1930 hingga kini, daripada moyang kepada atuk saya, kemudian daripada atuk kepada mak saya. Kini diwarisi pula oleh saya, generasi keempat. Saya keturunan Teochew.

Terdapat 4 jenis teh herba yang dijual di sini: air tebu lanjung, Wong Lo Kat [teh pahit], teh bunga kekwa dan air pegaga.

Pegaga?
Ya. Fungsi air pegaga adalah membersihkan usus besar, mengurangkan tekanan darah dan menghilangkan kepanasan. Biasanya orang tidak suka minum air yang mengandungi gula, jadi penyediaan air kami adalah bersifat universal, di mana ada yang manis, sederhana manis dan pahit atau air pegaga yang tidak manis. Air pegaga juga mempunyai rasa manis dan masin. Sekiranya ia ditambahkan masin akan lebih menyejukkan.

Air pegaga yang kamu jual adalah lebih cenderung kepada manis atau masin?
Kebanyakan pelanggan akan minta [rasa] yang kosong, tiada apa-apa tambahan rasa dibuat. Sebab ia mampu mengurangkan tekanan darah, tapi kenalah minum selalu.

Di antara 4 jenis teh herba yang dijual di sini, yang manakah digemari oleh kebanyakan pelanggan?
Keempat-empat pun laris. Kami juga ada serbuk ubat. Kami ada jual 6 jenis serbuk ubat di warung kami, iaitu menghilangkan kepanasan, demam, batuk, sakit tekak, sakit gigi dan buang perut angin. Keenam-enam serbuk ubat ini adalah amat berkesan. Ia adalah resepi rahsia yang diwarisi daripada moyang hingga kini.

Adakah bayaran adalah berlainan sekiranya pelanggan minta untuk memasukkan serbuk ubat ke dalam teh herba mereka?
Ya. RM2.60 jika ditambah sejenis serbuk ubat, RM3.40 untuk 2 jenis, dan RM4.30 untuk 3 jenis. Harga dikira mengikut jumlah kandungan [serbuk ubat].

Berapa lamakah persediaan yang diperlukan untuk membuat kesemua teh herba ini?
Biasanya bahan herba perlu direndam semalaman, pukul 10 malam sehingga pukul 6 pagi keesokan, biar rasanya dikeluarkan. Kemudian kami akan renehkannya selama tempoh 4 jam, barulah dikira selesai. [Kadar] haba api sangat penting dan masa juga penting. Jika kedua-dua faktor ini tidak dijaga dengan elok, kesannya akan menjadi kurang.

“Ketika umur saya tidak sampai 10 tahun, saya telah mula datang membantu di gerai…mencuci gelas, tapau dan mengemas”

Kamu membuka gerai hari-hari?
Kami hanya tutup sehari sahaja dalam satu minggu, iaitu hari Isnin. Waktu berniaga biasanya dari 11.30 pagi hingga 7 petang. Sekiranya terdapat pasar malam di sini pada hari Jumaat dan Sabtu, kami akan berniaga lebih lama sikit, mungkin sehingga pukul 8 atau 9 malam.

Biasanya adakah semua teh herba akan dijual sehingga habis, baru tutup gerai?
Kami sangat mengutamakan pelanggan kami. Jika terdapat the yang tidak habis dijual, kami sanggup membuangkannya, demi mengekalkan kesegarannya. Tidak akan disimpan semalaman. Ini adalah perkara yang sangat penting. Kami amat mengutamakan kesihatan.

Sejak bilakah kamu mula membantu mak kamu mengusahakan gerai ini?
Ketika umur saya tidak sampai 10 tahun, saya telah mula datang membantu di gerai. Masa itu saya masih kecil, saya hanya tahu mencuci gelas, tapau [membungkus] dan mengemas. Saya selalu membantu di gerai sewaktu saya kecil. Sehinggalah lebih kurang 4 hingga 5 tahun yang lepas (sekitar tahun 2015), barulah saya kembali mengambil alih perniagaan ini. Sebabnya tidak cukup tenaga kerja, tambahan pula mak saya pun dah tua dan tidak sihat, jadi saya pun bantulah mak saya. Dulu saya kerja di bengkel membaiki kereta.

Apakah pandangan kamu tentang mewarisi perniagaan keluarga ini?
Keluarga saya agak konservatif, hanya ahli keluarga sahaja yang boleh mewarisinya, tidak dengan orang luar. Perniagaan ini sanggup terputus daripada diwarisi oleh orang luar. Pada masa moyang saya, memang ia diamalkan sebegitu. Kemudian apabila mak saya mewarisi perniagaan ini daripada atuk saya, mak saya juga mengamalkan tradisi ini, iaitu hanya menurunkannya kepada anak sendiri, tidak dengan orang luar. Melainkan anak ingin mewarisinya, jika tidak perniagaan ini sanggup dibiarkan terputus begitu sahaja. Apabila saya telah kembali, walaupun agak penat, sebab kerja di bawah matahari dan hujan, namun apabila saya imbas kembali, ia sesuatu yang juga menggembirakan sebab ia merupakan hasil usaha sendiri, lebih baik daripada bekerja dengan orang lain. Lagipun ini adalah perniagaan keluarga, atuk telah mengusahakannya, moyang telah mengusahakannya, mengapa pula kami tidak mahu mewarisinya? Jika ia dibiarkan begitu sahaja, ia akan hilang selama-lamanya.

Ramai pelanggan pernah tanya “adakah anak kamu akan mewarisi perniagaan kamu?”
Yang ini tidak pasti lagi, mungkin kena tunggu sedikit masa lagi, kami tengok kemudian, kalau mereka nak mewarisinya biarlah mereka buat. Kalau tidak, mungkin juga saya akan membuka cawangan lain, mungkin dengan cara ini dapat mengajar lebih ramai orang lagi. Bagi saya, saya tidak akan terikat sangat dengan amalan tradisional, saya mungkin akan lebih terbuka, namun terbuka pun akan ada sedikit rahsia [resipi?].

Selama kamu mengambil alih perniagaan ini, adakah sambutan pelanggan amat memberangsangkan?
Amat memberangsangkan. Cuma pelanggan kami kebanyakannya orang tempatan, pelanggan dari luar agak kurang. Tambahan pula dengan isu pneumonia Wuhan kini, menyebabkan banyak perniagaan merosot. Namun setakat hari ini, perniagaan kami masih agak stabil, tidak merosot sangat. Sebab ada perniagaan lain yang merosot sehingga 80 hingga 90 peratus. Bagi kami, lebih-lebih pun 10 hingga 20 peratus sahaja.

Berapakah gerai teh herba seperti gerai kamu yang masih ada di Melaka?
Kebanyakan sekarang adalah kedai ubat tradisional Cina, kedai ubat Cina juga ada jual [teh herba]. Yang bezanya adalah keberkesanan dan resepi masing-masing, yang penting adalah sesuai dengan diri sendiri {pelanggan}. Apabila kamu dah biasa minum [teh herba] di sesebuah gerai, kamu akan rasa lain apabila minum di gerai lain. Kami tidak akan komen sama ada teh herba gerai lain bagus atau tidak, bagi pelanggan apabila mereka telah biasa dengan [teh herba] sesebuah gerai, mereka akan kembali untuk mencarikannya. Jikalau perniagaan ini terputus begitu sahaja maka ia akan hilang. Bukankah ia patut diwarisi dan diteruskan?

Adakah perniagaan kamu mempunyai musim di mana pelanggan adalah ramai, dan sebaliknya?
Pada musim hujan perniagaan kami akan menjadi sukar. Sebab apa kami jual adalah teh herba, fungsinya adalah untuk menyejukkan badan. Jika cuaca menjadi sejuk, siapakah yang akan teringin untuk meminumkannya?

Adakah dalam musim demam atau apa-apa penyakit, orang yang datang minum teh herba akan bertambah?
Itu yang pasti. Seperti yang saya sebut tadi tentang pneumonia Wuhan. Orang zaman sekarang jika rasa sedikit kurang sihat, mereka akan datang untuk minum [teh herba] dulu, bagi tahan dulu. Mereka risau akan berlaku apa-apa masalah pada badan mereka. Sebab apabila badan manusia lemah, ia mudah dijangkiti kuman. Perniagaan masih boleh tahan lagi.

Apakah perancangan kamu pada masa akan datang untuk mengembangkan perniagaan ini?
Tentu saya berharap perniagaan ini dapat diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain, saya tidak ingin perniagaan ini terputus nanti. Cuaca Malaysia adalah panas, perniagaan teh herba sememangnya dapat diteruskan, yang penting adalah semangat rajin berusaha dan bersabar, teruskan usaha dalam apa jua bidang, pasti akan nampak hasilnya.

Apakah pembaharuan yang boleh dibuat demi mengembangkan perniagaan keluarga ini?
Yang penting, kami berharap perniagaan ini dapat diturunkan dari generasi ke generasi, jangan biar ia terputus. Tapi perlu teruskan usaha baru nampak hasilnya. Ini adalah perkara yang penting. Sebab orang sekarang ingin cari kerja yang senang, ringan dan kerja di dalam bilik berhawa dingin. Jadi, teruskan usaha akan menjadi lebih baik.

IBU KU, PENJUAL TEH HERBA GENERASI KETIGA

“Ubat Barat senang membuatkan orang mengantuk, manakala ubat kami...setelah mereka minum, mereka rasa bagus untuk badan mereka, hilang mengantuk dan boleh terus kerja”

Adakah semasa generasi pertama dan kedua, mereka memang berniaga di tempat sekarang?
Generasi kedualah (atuk saya) yang mula berniaga di tempat yang ada sekarang. Pada awalnya ia (perniagaan ini) adalah di hadapan.

Di manakah lokasi berniaga oleh generasi pertama?
Adakah kamu nampak pasu bunga di depan, iaitu tempat yang kereta lalu-lalang sekarang.

Pada 20 tahun yang lalu, apakah keadaan dan suasana di kawasan ini iaitu Kee Ann Road dan Bunga Raya?
Pada 20 tahun yang lepas, semasa saya berumur 10 tahun, sini merupakan tempat yang paling riuh-rendah. Tapi, bak kata hidup berputar umpama roda, mungkin mereka [orang] telah beralih ke tempat lain, tapi dikira masih boleh tahan lagilah.

Bagaimana keadaan di sini sekarang?
Keadaan sini sekarang, waktu pagi masih boleh buat [ada business]. Apabila masuk pukul 7 atau 8 malam agak susah, sebab orang tak ramai. Melainkan Madam King [pusat membeli-belah] ada buat offer, maka orang akan bertambah. Pada hari biasa, pukul 11 pagi atau 12 petang sehingga pukul 5 atau 6 petang, agak ok. Biasanya sebelah pagi ada ramai orang.

Kebanyakan pelanggan kamu terdiri daripada bangsa apa?
Ketiga-tiga bangsa utama – Cina, Melayu dan India. Semasa bulan puasa, perniagaan saya akan menurun, sebab 40% pelanggan saya adalah orang Melayu.

Kenapa pelanggan Melayu akan datang ke gerai kamu untuk minum teh herba?
Ini telah diamalkan oleh atuk saya pada zaman dulu hingga sekarang. Semasa atuk saya mengambil alih perniagaan ini, pelanggan Melayu mula datang. Kemudian mereka akan khabarkan kepada orang lain, dari orang ke orang, sehingga sekarang. Pelanggan Melayu yang baru atau orang muda, mereka biasanya jarang cuba minuman yang mereka tidak pernah rasa. Tetapi apabila minuman tersebut disyorkan oleh rakan Melayu yang lain, mereka baru akan cuba merasainya. Tak kiralah betapa banyak publisiti dibuat, atau diwar-warkan minuman ini halal, masih perlu bergantung kepada pengesyoran daripada kawan Melayu mereka yang pernah merasainya.

Maksudnya, kebanyakan pelanggan kamu adalah pelanggan lama, di mana mereka akan turut mengesyorkan kepada kawan-kawan atau saudara-mara mereka, dan begitu juga kebanyakan pelanggan Melayu kamu adalah datang dengan cara ini?
Betul, yang penting adalah [teh herba] sesuai dengan selera mereka, dapat membantu mereka, seperti serbuk ubat saya. Apabila dapat membantu mereka, mereka akan rasa bahawa benda tersebut adalah bermanfaat kepada mereka, boleh dicuba, barulah mereka akan mengesyorkan kepada orang lain. Sebab kata orang, ubat Barat senang membuatkan orang mengantuk, manakala ubat kami adalah ubat tradisional Cina, setelah mereka minum, mereka rasa bagus untuk badan mereka, hilang mengantuk dan boleh terus kerja, keadaan kesihatan juga bertambah baik. Maka dengan ini, ramai lagi akan menyukainya.

Tadi kamu mengatakan bahawa ubat Barat senang membuatkan orang mengantuk. Apakah maksud kamu?
Maksudnya cepat membuatkan orang rasa ingin tidur, sebab setiap orang walaupun mereka sakit mereka masih perlu membuat kerja. Jika ambil ubat Barat, badan akan rasa lesu, maka akan kurang semangat untuk membuat kerja. Jadi bagaimanakah seseorang itu hendak membuat kerja? Bukankah ia juga berbahaya kepada orang yang terpaksa bekerja di luar atau memandu kereta? Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya mengambil ubat tradisional Cina. Ia hanya menyelesaikan keadaan kesihatan kamu.

Bolehkah kamu terangkan keempat-empat jenis teh gerai kamu, mana yang lebih pahit dan mana yang lebih manis?
Wong Lo Kat adalah pahit. Air tebu lanjung adalah manis dan sejuk. Teh bunga kekwa adalah suam dan kurang manis. Air pegaga pula tiada rasa manis di dalamnya.

Adakah ramai pelanggan suka dengan kepahitan Wong Lo Kat?
Jika saya katakan tidak pahit, adakah kamu percaya? Macam manapun kamu perlu mencubakannya terlebih dahulu, barulah kamu tahu apa itu pahit, apa itu bukan pahit. Yang penting, cuba dulu.

Wong Lo Kat terkenal dengan kepahitannya, namun masih ada ramai orang yang boleh menerimanya?
Ada sesetengah orang akan salah faham, mereka ingat Wong Lo Kat kami adalah jenis yang dalam tin minuman. Tapi Wong Lo Kat dalam tin minuman adalah jenis yang manis, yang ini pula adalah pahit.

Pelanggan Melayu pun boleh terima Wong Lo Kat?
Boleh. Sebaliknya orang Melayu sekarang lagi pandai daripada orang Cina dalam minum teh herba. Ini memang benar. Orang Melayu berani mencuba. Yang penting, ia [teh herba] adalah baik untuk mereka.

Photo Gallery

Melaka Downtown Exhibition

UNESCO