TRADING | BERNIAGA

Tukang Arloji

Lai Loi Sin

Lai Loi Sin, 62
Suami

Lum Sau Yoong, 54
Isteri

Bersama pemilik
Kedai Jam Cheong Hin
Lai Loi Sin, 62

Perbualan pada
14 Januari dan 6 Mac 2020

Kedai Jam Cheong Hin
T1 Jalan Kee Ann

Saya orang Melaka, Ujung Pasir. Kedai Jam Cheong Hin sebenarnya merupakan nama kedai ayah saya. Dibuka tahun 1988, dah 32 tahun. 

Apa-apa pun saya baiki: jam elektronik, jam tangan elektronik, jam mekanikal, jam dinding dan jam antik. Kedai kami lebih banyak mengerjakan pembaikan jam tangan kuarza, sebab dulu semasa saya di Kuala Lumpur, saya lebih kepada membuat kerja-kerja pembaikan jam tangan kuarza. 

Apakah maksud kuarza?
Ia adalah sejenis komponen utama dalam jam elektronik kuarza. Aliran elektrik bateri perlu melalui batu supaya (elektrik) yang dijanakan lebih tepat. Kekuatan elektrik tersebut adalah tetap, sebab itu ia dipanggil Quartz.

Apakah perbezaan antara jam tangan automatik serta jam tangan kunci dengan jam tangan kuarza?
Jam dan jam tangan elektronik bergerak menggunakan bateri. Jam tangan elektronik yang menggunakan Quartz dipanggil jam tangan kuarza. Manakala jam tangan mekanik ada dua jenis: Jam tangan kunci, yang perlu digulung kunci [winder] dengan tangan, atau jam tangan automatik [yang perlu hayunan tangan]. Jadi ada 3 jenis: jam tangan elektronik (termasuk jenis kuartza), jam tangan kunci, dan jam tangan automatik. 

Sekarang jarang ada orang akan membeli jam tangan kunci, betul tak?
Mereka senang untuk membelinya, tetapi susah untuk mencari orang yang membaikinya. Di Bandaraya Melaka sekarang rasanya tak sampai 5 buah kedai yang boleh membaiki jam tangan mekanik.

Jam tangan automatik perlu dihayunkan, tangan perlu menghayun, baru ia akan bergerak. Ramai orang yang usianya lebih 60 tahun, jam tangan mekanik tidak boleh dipakai, sebab pergerakan/hayunan mereka adalah kurang.

Apakah jenis kerosakan jam tangan yang dibawa oleh kebanyakan pelanggan untuk dibaiki di sini?
Kebanyakannya masalah seperti (jarum jam tangan) berhenti gerak, ataupun pergerakan (jarum) kurang tepat. Ada juga jam dinding dan jam kayu. Biasanya kalau jam telah lama, gear jam akan menjadi haus. Ataupun gear dan winder terputus.

Selain daripada perkhidmatan membaiki jam, adakah kamu juga ada menjual jam?
Ada sedikit sebanyak. Jam tangan yang dijual di sini lebih kepada jam tangan sederhana, jam tangan yang lebih praktikal kegunaannya. Saya tidak menjual jam tangan trendy, sebab pelanggan kami kebanyakan adalah golongan pertengahan umur dan juga pelanggan yang mempercayai kami. Jadi kebanyakan jam tangan yang kami jual adalah bersifat praktikal.

“Biasanya pelanggan lama yang membawa anak mereka, anak mereka akan datang balik kepada saya kemudian”

Kalau kita katakan tahun bilakah volume perniagaan mencapai tahap yang tinggi?
Pada tahun 80an, volume perniagaan pada masa itu adalah lebih baik. Sebab pada zaman tersebut, pasar masih ada lagi, bas boleh berhenti di situ, maka ramai orang lalu-lalang di sini. Dulu saya dah mula buka kedai pada pukul 7 atau 8 pagi sehingga pukul 7 atau 8 sebelah petang. Kita boleh bayangkan volume perniagaan pada masa itu. Kebanyakan pelanggan Melayu, dulu dan sekarang, sama, lebih kurang 85%. Sebab pasaran di kawasan sini lebih banyak pelanggan Melayu. Kebiasaannya pelanggan Cina jarang memasuki jalan ini.

90% pelanggan di sini adalah pelanggan lama. Biasanya pelanggan lama yang pernah membawa anak mereka, anak mereka akan datang balik kepada saya kemudian. Orang yang lalu-lalang di kawasan sini makin kurang. Sekarang waktu berurusan telah dipendekkan, 9.30 pagi hingga 5.30 petang, sebab pelanggan tak ramai.

Bagaimana pula keadaan keselamatan di kawasan ini?
Sekarang lebih baik. Semasa saya baru datang ke sini, 80an, keadaan keselamatan sini kurang elok. Selalu ada kegiatan peras ugut, orang tidak berani masuk ke sini. Pada mula-mulanya saya memang agak takut juga. Sekarang dikira baik dah. Sebab semasa saya mula-mula datang, ramai anggota polis di kawasan ini. Sering kali ada polis membuat rondaan di kawasan sini. Ramai juga datang ke kedai saya, bersembang dengan saya. 

Ada tak anggota polis yang mencari Encik Lai untuk membaiki jam tangan?
Ada, ramai. Saya mempunyai ramai pelanggan polis, seperti (polis) trafik dan anggota IPD Melaka Tengah.

Bagaimana pula dengan kakitangan awam?
Dulu ada ramai. Dulu di pejabat-pejabat Bangunan Merah mempunyai ramai kakitangan awam. Sekarang tidak ada lagi. Kebanyakan untuk membaiki jam.

“Di bandaraya Melaka sekarang rasanya tak sampai 5 buah kedai yang boleh membaiki jam tangan mekanik”

Dari manakah Encik Lai belajar cara dan teknik membaiki jam?
Semasa saya 15 tahun, selepas tamat persekolahan saya belajar di kedai jam abang saya. Kemudian saya bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur selama lebih kurang 10 tahun, di bahagian pembaikan. Ia merupakan kilang pemborong yang mempunyai urus niaga di seluruh Malaysia. Jam tangan yang bermasalah akan dihantar kembali dan dibaiki oleh kami. Baru saya balik ke Melaka.

Encik Lai pernah tak menerima anak murid untuk mewarisi skil membaiki jam tangan?
Secara rasminya saya pernah mengajar 2 orang anak murid semasa di Sabah. Saya pernah bekerja dalam bidang ini di Sabah lebih setahun. 

Alamat di sini sebenarnya adalah Kee Ann Road atau Kampung Jawa?
Kee Ann Road. Tetapi ramai juga yang memanggilnya Kampung Jawa. [Dua nama jalan ini] digunakan bersama-sama.

Jam-jam dinding di kedai Encik Lai kebanyakannya jarum pendek menunjuk ke arah pukul 10, manakala jarum panjang menunjuk ke arah 10 minit, yang berbentuk ‘V’. Adakah ia membawa apa-apa maksud atau simbolik tertentu?
Selama ini stok jam yang telah packing dan datang sememangnya telah mempunyai setting sebegini.

Bagaimanakah keadaan di kawasan ini semasa Encik Lai datang ke sini?
Keadaan sini agak rumit. Sebab pada masa dulu, reputasi kawasan sini tak berapa bagus. Pada masa dulu, di sini [Jalan Kee Ann] ada 3 hingga 4 buah kedai yang ada perkhidmatan membaiki jam. Sekarang tinggal kedai saya sahaja. Di dalam Kampung Jawa, ada sebuah kedai, juga kedai yang agak lama. Sana hanya membaiki jam sahaja. Mereka tidak menjual jam.

Bolehkah perniagaan Encik Lai dianggap sebagai sunset industry?
Ya, memang merupakan sunset industry. Biasanya jam tangan yang dibawa ke sini untuk dibaiki adalah jam tangan yang lama, jam tangan baru, kalau rosak biasanya akan ditukar kepada yang baru, tidak perlu dibaiki lagi. Orang muda biasanya akan membeli jam tangan elektronik dan jam tangan kuarza. Kalau orang tua, biasanya mereka masih akan mencari jam tangan automatik atau jam tangan mekanik.

Apa yang membuatkan Encik Lai masih meneruskan perniagaan ini?
Sebab kami dah tua. Usia dah meningkat. Tak kan kami nak tukar kerjaya lagi?

Adakah Encik Lai bercadang untuk mewarisi perniagaan ini kepada anak?
Mereka tidak minat untuk mempelajarinya. Semua anak saya tidak ingin (menceburi) perniagaan ini. Kami akan menamatkan perniagaan ini dengan perlahan-lahan.

Tidakkah Encik Lai bimbang tiada orang mewarisinya [teknik membaiki]?
Benda-benda macam ini, kalau dah berlalu biarlah ia berlalu.

Photo Gallery

Melaka Downtown Exhibition

UNESCO