Munshi Abdullah:
Like atau Unfollow?

Tawarikh Talks Series

17 NOV 19

in collaboration with

Serambi Karya Bellamy
Rumah Meranti 2, Jalan Bellamy
Kuala Lumpur

Muhammad Salleh

Sasterawan Negara

Profil

Penyair yang menekuni sejarah dan membaurkan pemikiran intelektual dengan bahasa pengucapan moden. Begitulah sosok kepenyairan Sasterawan Negara Prof Dr. Muhammad Haji Salleh yang sudah lebih dari 50 tahun menceburkan diri dan menyumbangkan bakti dalam khanah persuratan Malaysia.

Salah satu karya beliau paling istimewa ialah “Sajah-Sajak Sejarah Melayu.” Dalam kumpulan puisi ini beliau menyingkap kembali kisah dan tokoh daripada “Sejarah Melayu” seperti Tun Kudu, Sultan Mansur Syah, Raja Muhammad, dan Puteri Gunung Ledang. Prof. Muhammad menulis:

“tulislah dengan segala alatan pujangga tuan hamba
supaya dari peristiwanya akan timbul kebesaran
dari sejarah kita dapat pelajari kebenaran.”

Prof. Muhammad dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Malayan Teachers College, Brinsford Lodge, England. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (Singapura), ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya dalam tahun 1970 dan ijazah Ph.D. dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat dalam tahun 1973. Pada tahun 1978, beliau dilantik menjadi Profesor Kesusasteraan sewaktu berusia 36 tahun. Beliau pernah menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands, dari tahun 1993-1994.

Kemuncak pencapaian beliau ialah menerima anugerah Sasterawan Negara dalam tahun 1991; dan menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1997.

Sinopsis

“Munshi Abdullah ialah pengarang dengan pelbagai wajah dan pelbagai suara,” jelas Sasterawan Negara Prof. Dr Muhammad Haji Salleh dalam syarahan Tawarikh Talk semalam bertempat di Serambi Karya Bellamy. Sepanjang hidupnya, Munshi Abdullah telah memainkan banyak peranan, antaranya sebagai penulis, wartawan, penterjemah, pencetak, dan penyunting. Setiap satu daripada sisi kehidupan Abdullah ini dibincangkan oleh Muhammad Haji Salleh.

“Gagasan utama dalam karya-karya Abdullah Munsyi adalah daripada pengamatan, pengalaman dan pengetahuan,” kata Muhammad apabila membicangkan peranan Abdullah sebagai wartawan. Muhammad banyak merujuk kepada buku “Kisah Pelayaran ke Kelantan” sebagai bukti pemikiran kritis dan pengamatan Abdullah yang terperinci. Walaupun teguran Abdullah terhadap raja-raja Melayu dilihat sebagai wajar, namun Muhammad tidak bersetuju apabila Abdullah menggambarkan realiti sosial masyarakat Melayu. Beliau percaya seorang pengarang Melayu tidak mungkin akan melukiskan suasana kehidupan sebuah masyarakat dengan terlalu detail sampai “sampah” pun nak dimasukkan ke dalam cerita.

Sikap kritis ini juga berkait rapat dengan identiti Abdullah sebagai pengarang moden Malaysia yang terawal. Di samping mengekalkan ciri-ciri sebuah hikayat, Abdullah menggabungkan bahasa percakapan seharian dengan retorik Melayu klasik seperti metafora, pantun, syair, kiasan, dan peribahasa. Tetapi Muhammad tidak menganggap Abdullah sebagai Bapa Sastera Melayu Moden. Beliau percaya, sebelum Abdullah, sudah ada pengarang yang lebih awal memasukkan unsur realisme ke dalam sastera seperti Lauddin dan Ahmad Rijaluddin.

Pendapat Muhammad tidaklah dipersetujui sepenuhnya oleh para penonton yang hadir semalam. Salah seorangnya ialah Saudara Zainal Rashid Ahmad yang menyokong sikap kritis Abdullah dalam menggambarkan realiti sosial masyarakat Melayu di Kelantan. Malah beliau tidak bersetuju apabila sarjana terlalu sibuk nak mencari hubungan Abdullah dengan perkara di luar teks sehingga menganggap pendapat Abdullah itu dibayangi oleh Raffles dan pemikiran golongan mubaligh Kristian.

Ternyata wacana Munshi Abdullah ialah perbincangan yang akan berterusan kerana dari dahulu pemikiran beliau dan kesungguhan beliau menulis, telah menyentuh emosi pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Semoga ia tidak berakhir di pentas Tawarikh Talk. Sekiranya semangat yang sama dibawa ke pameran Munshi Abdullah di Melaka, pada 23 November ini, kita percaya legasi kepengarangan Munshi Abdullah akan kembali diangkat ke tempat yang sewajarnya.

Video

The Tawarikh Talk is a series of talks by distinguished scholars on Melaka’s early history, and are a monthly event.

Galeri Gambar