Ahmat Adam

Emeritus Professor

Melaka dan Pasai

Tawarikh Talks Series

29 SEP 19

held at

Melaka in Fact
169 Jalan Tengkera
Melaka

Profil

Prof. Ahmat Adam, sejarawan kelahiran Kampung Selandar, Melaka menyampaikan syarahan “Melaka dan Pasai” di 169, Jalan Tengkera Melaka. 

Prof. Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam menjalankan kajian mendalam terhadap manuskrip-manuskrip Melayu, termasuklah “Hikayat Raja Pasai” yang melakar zaman awal kedatangan Islam di Sumatera Utara. Sedikit latar belakang tentang beliau, tiga tahun di Universiti Malaya (1967 – 1970) dalam bidang pengajian Melayu dan Sejarah, memberi peluang padanya mempelajari bahasa dan kesusasteraan Sanskrit. Ini memberi manfaat pada beliau untuk mengkaji manuskrip Melayu dan sastera sejarah. Ketika beliau mununtut di School of Oriental & African Studies, Universiti London (1970 – 1975), beliau mendapat peluang keemasan untuk mula mengkaji secara mendalam manuskrip Melayu bertulisan Jawi. Prof. Ahmat Adam berkesempatan membaca warkah raja-raja Melayu dari Semenanjung, Johor-Riau-Lingga, Sumatera, Kalimantan, Jawa dan Bali yang dikirim kepada Stamford Raffles pada awal abad ke-19.

Sejarawan ini terkenal dengan beberapa tulisan penting seperti “The Vernacular Press and the Emergence of Indonesian Consciousness (1855-1913)” dan “Letters of Sincerity The Raffles Collection of Malay Letters (1780-1824)”. Kedua-dua kajian ini adalah mengenai warkah Melayu yang menyentuh makna huruf-huruf dalam al-Quran dan erti angka dalam perlambangan sufi. Ia seterusnya membincangkankan aspek tasawuf yang melatari karya-karya sastera ini. 

Sinopsis

“Sejarah mesti bercakap benar,” Prof. Ahmat Adam menegaskan dalam syarahannya pada hari Ahad lepas di pentas Tawarikh Talk ke-8. Judul syarahan beliau adalah “Melaka dan Pasai”. Bagi Prof. Ahmat Adam, memperkatakan kebenaran bukan sahaja soal mengkritik tafsiran sejarah yang salah, tetapi menyokong sebarang kenyataan dengan fakta dan bukti yang kukuh.

Hari ini apabila kita bercakap tentang sejarah Malaysia dan Indonesia, ia seolah-olah kita bercakap tentang budaya dan warisan yang terpisah. Padahal terdapat banyak persamaan antara kesultanan Melaka dan Pasai.

Menurut Prof. Ahmat Adam, sebelum kemunculan Melaka, Pasai terkenal sebagai kerajaan Islam yang makmur. Malah hieraki pemerintahan Pasai mirip dengan Melaka melalui jawatan seperti “laksamana,” “syahbandar,” dan “temenggung”.

Melaka dan Pasai juga pernah berada di bawah naungan kerajaan China kerana kepentingan mereka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa di laluan Selat Melaka. Pada tahun 1408 Zeng-He diarahkan mengunjungi antara lain Melaka dan Pasai dengan membawa hadiah untuk raja masing-masing.

Selain hubungan pemerintahan dan perdagangan, persilangan budaya juga berlaku antara Melaka dan Pasai. Ini sangat jelas apabila kita membandingkan beberapa episod dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dengan Hikayat Raja Pasai.

Menurut Prof. Ahmat Adam: “Saya berpendapat kisah Sultan Muhammad Syah masuk Islam setelah bemimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S. A. W. adalah mitos yang sengaja dikarang oleh pengarang dengan cara memplagiat episod Mĕurah Silo masuk Islam setelah mimpi bertemu dengan Rasulullah dan kemudiannya mengambil nama Sultan Malik us-Salih”.

Selain mengingatkan kita supaya berfikiran kritis apabila membaca teks Melayu klasik seperti Sulalatus Salatin (serta Hang Tuah!) dan Hikayat Raja Pasai, Prof. Ahmat Adam juga percaya kita harus berhati-hati apabila mengambil fakta dari sumber Portugis dan China.

Di sebalik pengaruh langsung Hikayat Raja Pasai terhadap pengarang Sulalatus Salatin, syarahan Prof. Ahmat Adam sebenarnya membuktikan bahawa sebelum kedatangan kolonial, sejarah kita dengan kerajaan-kerajaan lain di rantau ini saling berkait dan mempunyai warisan kebudayaan yang erat dan pelbagai.

Video

The Tawarikh Talk is a series of talks by distinguished scholars on Melaka’s early history, and are a monthly event.

Galeri Gambar