Dengan pemilik
Kedai Emas Kong Sin Long
Thomas Lai, 57
Perbualan pada
19 Februari, 2020
Kedai Emas Kong Sin Long 60 Jalan Bunga Raya 06-281 7213
Macam mana kamu boleh jadi tukang jual emas?
Saya masa kat Muar-Tangkak, saya punya bapa pun buka kedai emas juga. Itu jam saya sekolah sampai Form 5, Itu jam saya sudah belajar jadi tukang lah. Lepas tu saya datang Melaka cari makan, saya start niaga tahun 1982. Itu jam saya ada dekat Kampung Pantai, dekat Lorong Jambatan. Itu jam dekat Kampung Pantai sana banyak kedai emas. Ada 6 kedai dulu di sana, dalam lorong tu pun ada 5 kedai emas, sekarang tinggal satu saja.
Semua sudah pindah, saya pindah sini [60 Jalan Bunga Raya] pun sudah dekat 12 tahun. Dulu sini kedai unisex kerinting [salon], itu pun dia sudah tutup lama.
Apakah jenis-jenis emas yang dijual, ada 999, 916?
999.99 itu pure gold lah, hampir 100% emas. Yang 916 tu ada 91.6% pure gold lah, yang lain tu bukan gold, itu saja makna dia. Yang 835 tu, 83.5% ada pure gold, yang lain bukan. Kalau 750 tu kira 75% emas lah, 375 tu, 37.5% emas, yang lain tu logam sama perak.
Ada jual intan tak?
Itu jam tahun 80an, dekat kedai lama sana kita ada jual intan. Sekarang sudah tak ada lagi.
Kenapa, tak ada market?
Bukan tak ada market, tapi tak ada orang proses, tak ada orang kerja. Itu intan semua hand-made punya, dia bukan macam mesin ada mould, bukan macam tu.
Harga intan mahal ka?
Itu jam murah. Masa tu harga emas pun murah, satu gram baru RM60 – RM70 saja, sekarang sudah RM200 lebih. Masa saya baru masuk ini kedai, harga emas baru lebih kurang RM60 saja.
Emas-emas ini semua dapat dari mana?
Ini semua biasa ada salesman hantar lah, dia ada kilang dekat KL, Penang, Ipoh, Batu Pahat. Kita kurang buat sendiri. Kita ada buat permata lah, macam suasa, ikat batu, itu kita ada bikin sendiri lah. Yang macam ni, cantik-cantik [ada design] tak boleh bikin lah, ini mesin kat kilang buat. Diamond pun kilang buat, kita tak expert. Kita kalau ada buat pun, kita buat yang biasa punya lah.
Kalau kira karat untuk gold, mana yang paling bagus?
Yang paling bagus kira 24 karat lah, itu kira 999.99, pure gold tu yang paling bagus lah. Tapi pure emas tak boleh bikin barang, sebab dia lembut. Kalau bikin cincin dia senang bengkok. Kalau 916 boleh. Emas 916 ini pun tahun 80an atau 90an baru ada orang minat. Kalau dulu, dia orang suka cakap “emas pound”.
“Pakai gigi emas, tak tau lah, haha. Mungkin mau tunjuk kaya, orang kaya baru pakai. Itu jam dia macam fashion lah”
Macam mana boleh tau kalau itu emas betul?
Experience lah, pakai mata. Pertama kita tengok saja sudah tahu, kedua kita test. Kita ada satu batu hitam macam ni [menunjukkan batu hitam]. Kita gesek itu emas, taruh dekat sini dan letak sikit acid atas batu ini, kalau ada gold dekat batu, itu adalah gold. Kalau tak lekat, itu bukan gold lah.
Batu ini dapat daripada mana?
Dulu kita beli, sudah sangat lama. Start niaga sudah beli. Semua kedai emas mesti mahu ada batu ini.
Customer biasa orang apa yang banyak datang?
Itu jam tahun 80an, kita meniaga, India paling banyak kat Kampung Pantai sana. Itu jam Batu Pahat punya emas ada banyak. Kampung Chetti, Kampung Tujuh punya orang pun banyak yang jadi saya punya customers. [Tapi] bila sudah pindah, kedai emas pun ada banyak, sekarang dah tak macam dulu lah. Dulu tahun 80-an, kedai emas tak banyak. Orang pun banyak, belum pindah ke taman-taman. Sekarang taman ada banyak. Orang sudah pergi Krubong, sana punya orang mana ada datang sini, sana pun sudah ada kedai emas, dia orang tak datang town lagi. Datang town pun ada traffic jam, susah. Itu masalah juga.
Bila sudah bersara, ini kedai kasi anak ka?
Anak saya mana mahu? Kita niaga ini mahu tunggu customer datang, bukan mahu keluar cari customer. Kita duduk sini, kalau satu hari tak ada niaga ngantok!
Ada banyak display India punya design ya?
Ya, sebab dari dulu kita India banyak. Tapi bukan cuma India punya design lah. Tiga-tiga mahu. India, Malay, Chinese design pun kena mahu ada lah.
So ada India datang buat ceremony beli thali [kahwin] disini?
Ya, ada. Kita ada buat untuk dia orang.
Apa yang paling berharga, paling berat?
Paling berat pun dalam saya punya kedai ada 10 pound [80 gram], ini thali kahwin [menunjukan sample thali], ada dalam 75 gram, kalau sekarang dia punya harga, 75 gram kali RM200 lebih sudah dekat RM20,000. Dulu murah, sekarang sudah mahal.
Kalau yang paling murah, apa kat sini?
Paling murah, sini ada 1 gram punya barang, kalau besar sampai 100 gram pun ada.
Gigi emas sini ada tak?
Takda lah, gigi emas tu kena pi kedai gigi sana buat. Dia beli sama kita, dia buat gigi, gigi kita tak buat. Tapi dia orang mau jual, kita ada terima [ketawa]. Ada orang tua-tua dia tak mau pakai, kasi jual sama kita lah. Sekarang sudah tak ada lah, itu tahun 80-an – 90-an.
Kenapa dia orang pakai gigi emas?
Tak tau lah, haha. Mungkin mau tunjuk kaya, orang kaya baru pakai. Itu jam dia macam fashion lah. Sekarang tahun 2000-an sudah tak ada orang pakai lagi. Masa tahun 50-an, 60-an banyak orang pakai.
Kalau untuk saving biasa apa jenis emas?
Itu 999.99 lah, kita panggil “gold bar” [jongkong emas]. Kalau beli untuk pakai punya, rantai, cincin atau gelang, pakai 916 gold. Tapi sekarang punya zaman ada banyak ragut, curi, orang pun tak berani pakai lagi.
Sini ada jual Peranakan punya design, macam kerongsang?
Itu tahun 80an adalah, sekarang tak ada tukang buat lagi. Dia punya batu pun susah mahu dapat, size dia lain-lain, tiga segi ada, bujur ada, dia semua kena buat satu-satu. Kalau mahu ganti batu pun susah. Sekarang macam itu punya barang sudah tak ada lah. Kalau ada pun sekarang sudah jadi antik, sudah jadi simpanan, sebab tak ada proses lagi. Orang yang bikin punya semua sudah tua, orang muda mana mahu buat ini.
Ada tak orang yang jual emas design macam tu?
Jarang, sekarang dia orang sendiri simpan. Sebab barang ini sudah tak dapat lagi, sudah tak ada proses lagi. Itu lah pasal sudah jadi mahal, sudah jadi antik.
Cara-cara buat dia sudah lupa?
Semua orang sudah lupa. Sekarang punya generation semua mahu pakai mesin, satu hari punya proses boleh buat banyak. Dulu kalau satu kerongsang, mahu buat seminggu lebih baru boleh siap. Gaji satu minggu itu baru dapat berapa? Sekarang punya orang, satu hari pun sudah mahu berapa gaji. Zaman sudah lain, sekarang punya generation, mesin buat semua pakai mould. Satu kali bikin boleh dapat 100 keping, semua sama design. Satu hari boleh 100 bikin, semua siap. Sekarang sama dulu tak sama lah.
Mutiara, ada jual?
Ya, kita dapat dari China punya lah. Sekarang mutiara semua dipelihara, bukan asli. Mahu tengok bulat dia [bentuk], colour dia, ada yang putih, ada yang pinkish. Kalau warna dia lagi putih, lagi mahal. Dia punya shape mahu betul-betul bulat, dia lebih mahal. Tapi sekarang yang normal, market jual tak bulat sangat.
Jade pun ada?
jade pun kita ada jual, jade dari Burma. Jade itu dia macam hiduplah, dulu-dulu orang cakap, kita macam pelihara dia. Kalau jade bagus lah. Kalau yang inject punya itu bohong.
Macam mana dikatakan jade tu bohong?
Dia macam batu, yang colour dia inject, dia bukan original. Kalau original mahal, harga dia dalam RM1,000 ke atas, kalau kita beli pasar malam punya tak ada lah, itu batu akik dari Taiwan punya, itu murah.
Kalau white gold?
Tahun 2000-an baru start ada white gold. Dulu-dulu kita punya nenek moyang mana tahu white gold, semua dia sebut “emas pound” saja. Sekarang punya zaman, apa dia orang cari, itu yang kita buat. Kalau ada customer mahu, kita baru cari.
Dulu orang beli untuk simpan duit punya. Sekarang orang beli ikut design, untuk fashion.