Saya dilahirkan di China, datang ke Malaya bersama bapa saya pada 1942 sewaktu umur 7 tahun. Pada masa itu tentera Jepun baru menyerang Malaya, selama 3 tahun 8 bulan, sehingga umur saya 11 tahun.
Apabila tentera Jepun sampai Malaya, kami masih berada di Kuala Lumpur. Selepas Perang Dunia Kedua, kami menjual mi wantan buatan sendiri yang menggunakan batang buluh. Pada masa itu tiada jualan borong [mi wantan]. Kalau tak reti buat sendiri, maka tiadalah mi untuk dijual.
Pada 1957, iaitu tahun kemerdekaan [Malaya] saya datang ke Melaka, di sekitar kawasan Bukit Cina,. Apabila saya tiba di sini, saya membantu bapa saudara saya di sebuah restoran yang bernama Shao Ji [kini merupakan Straits Pharmacy yang terletak di hadapan Restaurant Tai Sam Guan]. Shao Ji adalah restoran pertama di Melaka yang dimiliki oleh orang Kantonis. Saya bekerja di sana lebih kurang 5 hingga 6 tahun. Kemudian pada 1963, baru saya berhenti dan menceburi bidang lama saya semasa di Kuala Lumpur, iaitu pembuatan mi wantan. Dulu saya makan gaji. Kemudian selepas berkahwin barulah saya memulakan perniagaan sendiri.
Berapa lamakah kamu menceburi bidang ini?
Sejak tahun 1963. Dulu ada ramai Ma Cheh [pembantu rumah Cina] di Melaka. Pada tahun 1963, kebanyakan Ma Cheh di Melaka pada masa itu menjual [masakan] Mi Wantan. Apabila saya menjual mi wantan [mentah], mereka tidak percaya saya, dan rasa hairan bahawa saya dulu kerja di restoran, kenapa tiba-tiba jual mi wantan pula. Jadi disebabkan kurang yakin, mereka tidak mengambil [membeli mi wantan mentah] daripada saya. Saya pun menjual sendiri mi wantan, saya menyewa sebuah gerai di Kedai Kopi Mei Fang Mei yang berada di hadapan Bank OCBC. di sana. Mi wantan yang saya jual adalah menggunakan Mi Telur Penuh yang juga diperbuat oleh saya. Pada masa itu, belum ada lagi orang lain yang membuat mi mentah jenis ini di Melaka. Mi mentah yang kami buat adalah istimewa.
Apabila saya berada di Melaka, saya memang tahu membuat Mi Kari, Mi Sup Cendawan dan Ayam, Mi Ayam, Mi Sup Lembu dan Wantan. Kemudian, ada pelanggan telah cuba dan rasa boleh tahan, mereka telah mewar-warkan sehingga ke Kampung Pantai. Sana kan ada ramai orang Kantonis, kebanyakan mereka datang pada waktu tengah hari untuk makan mi saya, khususnya Mi Sup Lembu, sebab ramai tidak pernah makan hidangan ini.