Shamsuddin Abdul

Pembina Kereta Lembu

MiF Oral History Interview

Kampung Tambak Bugis

16 OCT 18

“Salasilah keluarga kita memang salasilah asal pengusaha kereta lembu dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.”

Saya Samsudin Bin Abdul, Pengerusi Persatuan Pemilik Penarik Kereta Lembu Melaka. Saya bekerja sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Air Molek. Saya anak ke 6 dari 9 bersaudara. Dalam keluarga, saya yang mewarisi seni kereta lembu di Melaka. Segala aktiviti persatuan dari pihak kami, sayalah yang menguruskan.

Saya umur 42 tahun, dilahirkan di sini anak Melaka dan anak jati kampung ini. Kawan -kawan ada yang panggil Sam, ada juga yang panggil Din.  Saya berkecimpung dalam pengurusan ataupun pengendalian kereta lembu ini seawal dari kecil dan saya satu-satunya anak Haji Abdul (Pak Dul) yang meneruskan budaya dan warisan ini.

Arwah Bapa saya boleh dikatakan seorang penggerak utama kereta lembu di Melaka. Salasilah keluarga kita memang salasilah asal pengusaha kereta lembu dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Memang keturunan kami. Dari moyang ke datuk saya, datuk turun ke bapa. Selepas arwah bapa saya, turun ke saya yang menguruskan dan mengendalikan kereta lembu di Melaka.

“Kualiti tu diperbaiki daripada teguran-teguran yang disampakikan kepada Mak. Bapa jarang tegur depan-depan.”

Kita dibesarkan dengan kereta lembu, segala yang ada yang ada pada kereta lembu ini semua dah di depan mata kita. Bukan kata minat, dah jadi satu kewajiban kita sebagai anak untuk tolong mak bapa. Minat itu datang selepas saya diberi kepercayaan untuk menyiapkan hasil-hasil kerja yang tertangguh, yang arwah Bapa tinggalkan. Setelah saya buat, dia mula menilai kualiti yang saya buat. Banyak juga teguran-teguran, tapi teguran bukan direct tegur, dia tegur melalui mak saya, dia akan pesan pada mak saya. Komunikasi antara saya dengan bapa saya memang kurang, mesra, tapi kita tak bercakap depan, dia suka sampaikan melalui mak. Dari situ lah saya mula buat belajar bertukang, saya belajar pun tak ditunjuk ajar, saya lebih pada memerhati dan saya cuba buat sendiri. Kualiti tu diperbaiki daripada teguran-teguran yang disampakikan kepada mak. Bapa jarang tegur depan-depan. Bukan nak kata dia tak baik, tapi benda-benda kecik tu dia nak komen terlalu sedikit.

Kalau awal dulu sekitar tahun lima puluhan ada kereta kerbau dan kereta lembu. Bezanya kereta kerbau dan kereta lembu ialah kereta kerbau lebih untuk penggunaan untuk mengangkut barangan ladang. Kereta lembu pula, hasil pertanian yang dieksport dan dihantar ke luar negeri Melaka. Tak ada jauh mana. Macam Muar, Tampin. Kereta lembu ini untuk di atas jalan. Kereta kerbau untuk dalam ladang. Ciri-ciri reka bentuk pun ada beza, hampir sama tapi kalau diamati betul-betul memang ada beza. Kereta kerbau menggunakan seekor kerbau, kereta lembu pakai 2 ekor lembu.

Bahagian kereta lembu

Kereta lembu terdiri dari 3 asas utama. Pertama dia punya badan, kita panggil peti, istilah lain adalah kargo. Kedua, ganda yang merangkumi roda. Ini kita panggil kayu bom, iaitu kayu pasang yang lembu akan pikul. Selain itu adalah tongkat, besi balak dan juga break. Itu bahagian utamanya. Ketiga, bumbung, atau kita panggil kajang. Pernah dengar kajang Pak Malau kajang berlipat? Pepatah tu sebernarnya perumpamaan berkaitan kereta lembu. Kereta lembu 80% terbuat daripada kayu, selebihnya terbuat daripada besi, kawat dan juga daun, kita pakai daun rumbia.

“Di luarnya ada simpai besi, lingkaran dari besi yang menguatkan lagi roda itu.”

Antara kayu yang biasa digunakan dalam pembuatan kereta lembu ini ialah kayu-kayu yang kualiti tinggi. Contohnya kayu yang keras dan tahan lama seperti kayu gesang, cengal, kayu merah (untuk dinding), kayu kapong (untuk dinding), leban, kayu kelat. Itu antara kayu yang kita gunakan. Kalau dari segi pengumpulan bahan, dulu-dulu kebayakan semua cari dI hutan dan kita tebang. Tapi bila sudah moden, kayu-kayu ini ada yang boleh didapati dari kedai-kedai hardware. Tapi masih ada yang kita perlu cari di hutan untuk mendapatkan kayu-kayu ini.

Roda kereta lembu ini terdiri daripada sebuah gantang (tengah-tengah); ada 14 jari-jari dan 7 keping tapak. Di luarnya ada simpai besi, lingkaran dari besi yang menguatkan lagi roda itu. Kalau tempohh pembuatan, mungkin tukang kayu pun fahamlah benda ini, kayu sekarang kan kalau kayu muda kita kena bentuk dulu, kita tak boleh pasang. Kita pastikan kayu itu cukup kering, cukup tua baru kita boleh pasang. Sebab kita tak nak bila kayu belum cukup kering, kita pasang ia menjadi longgar. Tempoh masa itu bergantung kepada kayu yang kita dapat. Saya anggarkan untuk sebuah roda, tempohh masa yang diambil itu hampir 3 minggu, itupun kalau kesemua bahagian telah dipasang.

Asal-usul kereta lembu

Bila saya bertanya pada orang dulu-dulu seperti bapa saya atau datuk saya, mereka cerita sambil tunjuk gambar lama, kereta lembu asalnya memang dari India. Masa Kesultanan Melayu Melaka, pedagang-pedagang itu memperkenalkan kereta lembu ke tanah air kita. Pada masa tu mungkin versi India, yang mana hampir sama macam kita punya tapi tanpa bumbung dan reka bentuk ada sedikit perubahan. Bila sampai disini, reka bentuk itu diolah, mengikuti cita rasa masyarakat di sini. Mungkin ada memasukan unsur-unsur seni bina Melayu, jadi yang diceritakan kereta lembu ini berasal dari India. Sekarang zaman dah berubah, kalau dulu-dulu kebanyakan lembu yhang digunakan ialah lembu kampung yang dikacuk dengan lembu-lembu Siam. Baka-baka tu lah yang kita pilih. Sekarang ini pula dah banyak jenis baka moden yang diimport. Kita masih lagi boleh pilih tapi mengikut kesesuaian sifat dan fizikal lembu yang kita nak gunakan. Lembu ini ada ciri-ciri khas yang kita perlu amati, mana satu kita nak pilih sebagai lembu penarik. Kalau daripada apa saya belajar, petua-petua yang diberi kitab oleh mengenal pasti lembu-lembu itu mengikuti tanda-tanda fizikal dia. Contohnya, tubuh badannya kita nak yang berbonggol, kebayakan orang silap sangka. Dia rasa bonggol itu disebabkan lembu tarik benda sampai jadi muscle. Tapi sebenarnya tak, ia memang baka yang berbonggol.

“Kita kena cuba sebab kita tak nak lembu yang kita sudah latih tapi bila berjalan kaki berlagalah, mudah melecet, semua tu kita tak nak.”

Antaranya baka Brahman yang paling popular lah. Itu daripada fizikal tubuh badan. Ada lagi ciri-ciri lain seperti pusar, kaki dan kuku, cara berjalan. Kita kena cuba sebab kita tak nak lembu yang kita sudah latih tapi bila berjalan kaki berlagalah, mudah melecet, semua tu kita tak nak. Kita nak tengok langkah dia tu cantik, kaki dia takda lah macam tak kemas, tak cantik. Jadi benda-benda macam tu yang kita perlu pastikan sesuai untuk kita ajar. Antaranya ekor, telinga, mata. Banyaklah sifat yang kita boleh kenal pasti sama ada ia sesuai atau tak sesuai. Sebab kebanyakan ciri tu akan menggambarkan sifat sebenar lembu tu. Contoh kalau macam mata, ia lebih pada perangai. Contoh bila pusar selari dengan mata, selalunya lembu tu akan garang, waktu dia kecik dia ok, tapi bila dia membesar jadi garang. Pelu diingat lembu yang kita sudah latih menarik kereta, tenaga dia berkali ganda dengan lembu-lembu yang lain. Selepas kita latih, lembu tu tak boleh bersama dengan lembu lain. Seperti orang body builder lah kan. Bila dah betul-betul kuat, ia tak boleh tengok yang sebelah, ia rasa nak terkam, nak hentam. Itu salah satu sifat lembu penarik yang kita dah ajar.

Sebenarnya kalau dari segi latihan lembu itu seawal dari dia kecil sebab kita nak mendidiknya, membiasakan binatang itu dengan kereta lembu, dengan orang. Tempoh umur yang perlu dia buat kerja berat tu biasanya 2 tahun. Kita sudah mula ajar lembu. Tarik barang berat lah kan, kalau kecik sangat kita nak ajar kan kesian, tenaga belum cukup kuat. Tapi tergantung juga pada baka. Ada baka yang bersaiz kecik tapi kekuatannya melebihi lembu yang bersaiz besar.

Zaman sentiasa berubah, sekarang dah disediakan pellet. Zaman dulu-dulu rumput dan air garam sahaja. Selepas tu diperkenalkan pula dedak kelapa, ampas kelapa yang dikeringkan, kita rendam dengan air dan bagi lembu makan. Lepas tu berubah lagi, tambah roti kering. Sekarang ini yang paling popular pellet lah. Rumput memang wajib diberi pada lembu. Lembu memang perlu makan rumput.

Sekarang kereta lembu yang aktif di Melaka tak sampai 10 biji lagi. Asalnya dulu banyak dalam 30 lebih.Tapi bila kereta lembu ini mula dilupakan, mula tak dipandang, jadi minat penggiat-penggiat kereta lembu semakin hari semakin berkurang. Ada yang dah jual lembu, ada yang dah jual kereta lembu. Yang tinggal sekarang yang saki-baki sajalah. Masih kuat lagi semangat masih lagi nak mempertahankan yang kononnya warisan keluarga, warisan bangsa sendiri dan warisan negeri sendiri.

“Saya dengan berbangga mengatakan kereta lembu ini adalah milik orang Melaka. Sebab mana-mana kalau pergi, kita tanya kereta lembu, orang tak sebut negeri lain, orang akan cakap Melaka.”

Saya dengan berbangga mengatakan kereta lembu ini adalah milik orang Melaka. Sebab mana-mana kalau pergi, kita tanya kereta lembu, orang tak sebut negeri lain, orang akan cakap Melaka. Itu yang saya bangga dengan Melaka. Dan satu lagi yang saya bangga dengan kereta lembu ini sebab saya dibesarkan sekeluarga daripada kakak yang sulung sampai yang bongsu dibesarkan dengan hasil kereta lembu. Kereta lembu ini sudah jadi darah daging dengan saya. Mak saya merupakan tulang belakang dan orang yang selalu memberi sokongan dan dia tahu keseluruhan perjalanan pengurusan kereta lembu yang bapa saya usahakan. Daripada jualan berapa, kos buat berapa. Bahagian-bahagian kereta lembu ini semua dia tau. Sebaba keluarga ini bukan kata perlu belajar, perlu diajar tapi kena tolong lah. Kena buat sebab kita satu keluarga kan. Nak tak nak bila disuruh tu kena buat. Suka tak suka kena buat, secara tak langsung jadi tau lah benda tu.

Roda. Kita ada saiznya, mengikut kepada kesesuaian saiz roda tu. Klau geometri boleh tau, sama ja sebenarnya. Tapi orang dulu tu dia lebih kepada ukuran.. ada yang ukuran dia 57 inchi dan 56 inchi. Yang kecik tu 34 inchi. Orang dulu-dulu tak rekod dia punya plan pembuatan, semua dalam kepala saja. Tapi kita tak boleh tipu, dia boleh ingat daripada benda yang kecik-kecik; saiz berapa, dia boleh ingat.

Mandi Safar

Setelah mandi safar tu diharamkan, baru saya lahir. Tapi cerita tu melegarlah dalam keluarga kami, memang kita tahu perjalanannya. Saya boleh membayangkan dan menggambarkan apa yang berlaku sebenarnya di pesta mandi safar tu. Mandi safar sebenarnya adalah salah satu aktiviti tahunan pengusaha-pengusaha kereta lembu yang berhimpun dan berpesta. Rakan-rakan yang datang dari tempat-tempat berhampiran seperti Muar, Tampin, Alor Gajah. Mereka semua datang ke Tanjung Kling. Dulu mandi safar ini matlamatnya hiburan. Jadi dengan hiburan tu adalah unsur-unsur yang negatif. Mungkin disebabkan itu ia diharamkan. Sebagai seorang Muslim, ada 1 sehingga 10 hari bulan Safar, itulah tempoh ia berlaku. Sebenarnya Safar tu hari yang bersih, dalam bulan Islam tu hari yang bersih. Tapi mungkin dulu, saya pun tak boleh komen benda ini, mungkin ada pengaruh daripada budaya lain. Maka benda tu dijadikan salah satu aktiviti mereka.

Kereta lembu yang pernah dibawa ke pesta mandi safar

Kita sebagai pengeluar ataupun pembuat kereta lembu, kereta nie sering kali buat jual…jadi takda yang kekal dekat sini. Cuma saya boleh tunjukan ada satu bahagian kereta lembu yang mana roda sebelah sana tu adalah zaman moyang saya, masih lagi simpan Cuma kita baik pulih ja lah… itu satu-satu peninggalan antara barang yang lama. Kita buat benda nie..bila ada orang nak kita jual lah kan….. Kereta lembu asalnya dulu ada lessen. Sekitar tahun 70an sehingga akhir 80an kereta lembu dilesenkan. Kalau check dekat Majlis Bandaraya dia ada lessen kereta lembu roda besi. dan juga lessen beca. Seingat saya tahun 1991 lesen tu ditarik balik. Kereta lembu tak sesuai digunakan di jalan raya. Jadi lessen tu ditarik balik.

“Kalau check dekat Majlis Bandaraya dia ada lessen kereta lembu roda besi dan juga lessen beca. Seingat saya tahun 1991 lesen tu ditarik balik.”

Kita sebagai pengeluar ataupun pembuat kereta lembu, kereta ini sering kali buat jualan. Jadi tak ada yang kekal dekat sini. Cuma saya boleh tunjukan ada satu bahagian kereta lembu yang mana roda sebelah sana tu adalah zaman moyang saya, masih lagi simpan Cuma kita dibaik-pulih sajalah. Itu satu-satu peninggalan antara barang yang lama. Kita buat kereta lembu tapi bila ada orang nak, kita jual lah kan.
Kereta lembu asalnya dulu ada lesen. Sekitar tahun 70an sehingga akhir 80an kereta lembu dilesenkan. Kalau semak dekat Majlis Bandaraya, ada lessen kereta lembu roda besi dan juga lessen beca. Seingat saya tahun 1991 lesen tu ditarik balik. Kereta lembu tak sesuai digunakan di jalan raya. Jadi lessen tu ditarik balik.

Setiap kereta lembu ada nombor, contohnya kat dinding tu. Ada keunikan dari segi break kereta lembu ini. Zaman dulu tak ada bising-bising suara kenderaan. Jadi kalau tengah malam bila hari dah bertukar gelap, kita dah tak dengar bunyi-bunyi orang berjalan, sunyi, jadi lonceng lembu itu pun mempengaruhi suasana. Break ini sebenarnya direka dari sejenis kayu yang jenis ringan. Kalau orang Melayu panggil Lampung. Kayu yang jenis lembut. Jadi kayu lampung ini waktu basah ia keras, tapi bila mengering ia akan pecah. Rekahan kayu sebenarnya bila bergeser dengan roda ia akan menghasilkan bunyi dengung. Macam dalam masjid kan ada kayu yang ditebuk lubang. Kalau diketuk akan menghasilkan bunyi yang kuat. Konsepnya samalah macam tu. Rekahan kayu tu akan menyebabkan satu bunyi dengung. Kalau hari malam, kereta lembu balik orang boleh kenal. Bila turun bukit, kita tekan agak kuat, ia punya dengungan bunyi tu satu kampung boleh dengar. Itu keunikan dia, orang tak tau kenapa kita gunakan kayu yang pecah, ada yang tanya sebab dia tak faham.

Dondang Sayang

Dondang sayang sangat sinonim dengan kereta lembu, bertubuhnya dondang sayang pun bersempena dengan kereta lembu buat mandi safar. Bila kereta lembu berhimpun, malam dia nak hiburan, bila nak hiburan baru lah ada joget lambak. Joget lambak tu asalnya dari dondang sayang. Dia memang berhubung kait yang kuat. Joget lambak asal dari Melaka. Serampang Laut, itu lagu popular dial ah. Dulu nama Tanjung Kling, sekarang Pantai Putri, medan selera tu lah tapak mandi safar dulu. Waktu mandi safar, kereta lembu berhimpun, jumpa kawan-kawan saudara mara, bersembang, santai-santai, dan mereka bernyanyi sambil berpantun. Di pesta mandi safar lah terjadinya pertemuan jodoh, zaman dulu mana da alat komunikasi, tak ada whatsapp atau telefon, jadi itu lah waktu yang sesuai nak berjumpa. Yang saya diceritakan, Kawasan Tanjung Kling tu akan menjadi sangat-sangat sibuk dengan orang-orang kereta lembu. Kereta lembu bukan boleh parkir macam kereta, susun rapat-rapat. Lembu akan bertebaran. Kawasan itu agak besar lah. Dondang sayang pun bukan satu tempat saja. Lain kumpulan lain perangainya, dan setiap kumpulan akan berlawan. Ada pertandingan menari. Itulah yang negatifnya. Kalau dulu, kita tak ada perbezaan kaum. Cina, India, Chitty boleh pakai baju Melayu, Melayu pakai baju Chitty, tak ada beza. Itu seronoknya dulu. Kebaya nyonya tu dikomersialkan, semua orang boleh pakai. Kita sama ja sebenarnya, kain batik, semua orang boleh pakai dulu. Cuma sekarang ini lah, bila dah moden ini, adalah unsur-unsur yang kadang-kadang terlalu nak memper-AKU kan: yang ini aku punya, ini dia punya.

“Saya tak nak lupuskan sebab buataan tangan arwah bapa saya. Kalau boleh saya pertahankan selagi mampu. Susunan daun ini pun ada kaedah pembuatan dia.”

Macam jenis-jenis lembu pun mempengaruhi, macam India dia memang negara yang kepenggunaan dia masih sampai sekarang. Kajang yang ini dah 16 tahun, maklumlah benda yang dah lama jadi saya ikatkan kawat tu sebagai penguat lah. Saya tak nak lupuskan sebab buataan tangan arwah bapa saya. Kalau boleh saya pertahankan selagi mampu. Susunan daun ini pun ada kaedah pembuatan dia. Barang yang jarang digunakan akan cepat rosak. Kereta lembu ini, dulu sering digunakan sekarang dah jarang digunakan.

Saya kalau kereta lembu ini, dalam satu Malaysia ini saya bergerak. Tidak kisahlah kalau ia majlis orang kahwin, atau hari keluarga, atau majlis jemputan khas, atau pertandingan-pertandingan. Saya tak nafikan, kereta lembu adalah ikon negeri Melaka.

Saya dah banyak ketengahkan benda ini, buat usulan kepada pemerintah, tapi dia tak nampak sumbangan kereta lembu ini sebagai salah satu benda yang perlu dipertahankan. Saya rasa kesal juga lah kan. Saya dah cuba bincang denag CM tapi semua janji manis saja.

Pantang larang

Pantang larang ada tapi tidaklah benda tu menjadi suatu kewajiban, kita panggil petua lah bukan ritual, macam kayu hutan, kayu yang digunakan tu yang pangkal biar belah belakang, yang pucuk biar depan. Imbangan lah kalu teori fizik, pangkal lebih berat. Macam kayu kajang pun begitu juga. Setakat ini baca-baca tu tak adalah. Kita cuma pastikan semua lengkaplah; lembu kaki tak cedera, kereta lembu minyak roda dah letak, tali-tali ikatan semua dah kuat. Orang yang bawa kereta lembu tu dapat tau lah, kalau tali roda longgar, dia dapat tau.

Bumbung atau kajang

Atas sekali tu dibuat dari pada kayu nipah, yang ini kayu tepi, kayu tepi ini ada dua batang, sebelah kiri dan sebelah kanan. Ini palang untuk kedudukan, yang bagian belakang ini kayu ekor, asalnya lurus tengah-tengah ada sambung. Bentuknya bergantung pada jenis kayu, ada jenis kayu yang lentur boleh betul-betul bengkok kan, ada jenis kayu yang setakat mana yang ia boleh bentuk. Antara kayu yang kita gunakan untuk buat kajang ini, kayu kelat, kayu merah, misai keli, cenerai. Itu antara kayu popular yang kita gunakan. Ada lagi jenis-jenis kayu lain tapi hutan kita ini susah nak dapat. Kalau sebelah Jasin, Selandar tu boleh dapat kayu yang pelik-pelik lagi. Sini pun ada lonceng, sebagai hiburan, bila berjalan dia bergoyang. Kereta lembu ini ada percampuran kaum, macam lonceng ini kan terkenal di masyarakat India.

Photo Gallery

Terima Kasih En. Samsuddin Abdul

%d bloggers like this: